NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Alumni dan Kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) baru-baru ini menganjurkan Karnival Kerjaya USIM X MYFutureJobs 2023 bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Kerjasama dengan PERKESO khususnya MYFutureJobs ini merupakan kali ke-3 diadakan setelah penganjuran bersama pada tahun 2021 diadakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19, manakala tahun 2022 mula dilaksanakan secara fizikal. Ia menjadi salah satu strategi untuk membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan USIM dan mengurangkan kadar pengangguran di negara ini serta membuka pelbagai peluang kepada pelajar USIM dalam melangkah ke alam pekerjaan.

Setiap tahun kolaborasi ini berterusan melalui pelbagai penganjuran aktiviti termasuklah Karnival Kerjaya, Seminar Kebolehpasaran, Industry Talk dan Graduate Employment Programme (GEP).

Karnival yang berlangsung selama dua hari ini disertai oleh 40 pempamer melibatkan pelbagai industri termasuk 10 pempamer USIM yang mengetengahkan showcase USIM dengan kehadiran lebih 1000 orang pengunjung serta memberikan manfaat kepada graduan, pelajar tahun akhir termasuk terbuka kepada orang awam di sekitar Nilai dan berdekatan bagi mendapatkan informasi berkenaan peluang kerjaya yang ditawarkan oleh pelbagai pihak industri/majikan.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan perasmian berkata, USIM telah mendapat 96.1% kadar GE bagi tahun 2022. Justeru, USIM melalui Pusat Alumni dan Kerjaya (PAK) rasa bertanggungjawab untuk membantu KPT dalam menjaya serta menaikkan peratusan GE di peringkat nasional dengan menganjurkan Karnival Kerjaya USIM X MYFUTUREJOBS ini.

“Karnival ini merupakan salah satu platform graduan bukan sahaja di USIM malahan graduan di IPT lain serta masyarakat setempat mengejar impian dan meniti jalan kejayaan dalam bidang pekerjaan. Ia adalah peluang untuk mengenal pasti potensi diri, mencari peluang pekerjaan, serta membina rangkaian dan hubungan yang berguna dalam dunia kerjaya”. Jelas beliau lagi.

turut hadir ke majlis perasmian adalah Puan Rosimah Arsah, Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Sembilan; Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Pengurusan Tertinggi Universiti dan tetamu jemputan.

Antara Syarikat dan agensi yang hadir menyertai pameran kerjaya termasuklah Pos Aviation Sdn Bhd, Samsung Sdi Energy Malaysia Sdn Bhd, Medivest,Ctrm Sdn Bhd, Mytutor Academy Sdn Bhd, Honda Malaysia Sdn Bhd, Public Mutual Berhad, Azly Synergy Consultancy, Kawan International Travel Sdn Bhd, Safran Landing Systems, Cs Eco Glass (M) Sdn Bhd.