NILAI – Karnival Mahasiswa Islam Madani anjuran Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama beberapa organisasi kemanusiaan telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 180 mahasiswa. Program yang berlangsung di FKP ini bertujuan memupuk semangat keprihatinan dalam kalangan mahasiswa terhadap isu kemanusiaan global.
Majlis perasmian karnival ini disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertempat di Dewan Kuliah FKP pada 10 Oktober 2024.
Turut hadir ialah Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Saudara Syahrir Azfar Saleh, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM), Dr. Shahrizal Azwan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Relief Agency (MRA), Prof. Mohd Roslan Mohd Nor, Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).
Penyerahan cek sumbangan berjumlah RM20,000.00 kepada Sekolah Jasmine Ash Sham, Ampang yang disampaikan oleh YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im turut menjadi sorotan dalam majlis ini, mencerminkan usaha mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.
YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im dalam ucapannya menyeru mahasiswa agar terus berbakti kepada masyarakat dan memahami bahawa nilai kemanusiaan perlu dipupuk dalam diri setiap mahasiswa. Beliau juga menekankan betapa pentingnya peranan mahasiswa dalam menyumbang kepada kesejahteraan global, selaras dengan aspirasi ‘Islam Madani’.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan FKP Got Talent, Penulisan Khutbah, dan cabaran Tiktok. Majlis diakhiri dengan bacaan qunut nazilah untuk rakyat Palestin oleh Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Saudara Muhammad Firdaus Faisal, yang melambangkan solidariti mahasiswa USIM terhadap saudara seagama yang ditindas di seluruh dunia.
Karnival ini bukan sahaja memupuk kesedaran tetapi juga mengajak mahasiswa untuk terlibat dan menghayati secara langsung kepentingan aktiviti kemanusiaan.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani