NILAI, 1 Jun 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Nestle Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkolaborasi menyebarluas pendidikan halal dengan menganjurkan Karnival Mega Fatwa dan Halal Peringkat Kebangsaan 2023 bermula pada 1 hingga 4 Jun 2023 bertempat di USIM.

Dalam usaha menonjolkan konsep pengintegrasian fatwa dan halal, karnival yang diterajui oleh Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) USIM ini mensasarkan penyertaan menyeluruh daripada pakar-pakar akademik, pihak berkuasa tempatan dan rakan industri halal melalui pelbagai pengisian antaranya, showcase, seminar, forum dan kursus jangka pendek.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor dalam ucapan perasmian pembukaan berkata, jalinan kerjasama melibatkan pihak universiti dan industri ini harus diteruskan dan mendapat sokongan sepenuhnya bagi memberi aspirasi berkenaan kesedaran terhadap kepentingan pemilihan pemakanan ke arah amalan gaya hidup yang sihat, halalan toyyiban.

Selain itu, antara aktiviti yang turut dijalankan adalah Mega Halal@School with Nestle, Kursus Kesedaran Halal, Konvensyen Keusahawanan Halal, Seminar Fatwa & Halal, Pertandingan Inovasi Halal Nasional (PIHaN).

Pembukaan karnival ini diserikan dengan penyertaan hampir 700 peserta dari Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur yang menyertai Mega Halal@School with Nestle menerusi program interaktif dan konstruktif pendekatan teori halal dan permainan pintar.

Karnival turut mendapat tajaan daripada beberapa syarikat terkemuka antaranya Safi Wipro Unza, QSR Brands (M) Holdings Berhad, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd dan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd.

Majlis perasmian penutup akan diadakan di Dewan Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 4 Jun 2023.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan