NILAI, 21 Mac 2022 – Dalam mengadaptasi norma baharu sebagai satu usaha bersama dalam mengekang penularan wabak pandemik COVID-19, Karnival Warm-Up Ramadan diadakan pada tahun ini secara konsep hibrid di Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) serta turut ditayangkan secara langsung menerusi saluran Facebook Rasmi Pusat Islam USIM.

Karnival yang berlangsung bermula 20 Mac sehingga 1 April ini merupakan anjuran bersama Pusat Islam USIM dan tiga Sekretariat Pelajar yang bernaung di bawah  Pusat Islam USIM iaitu Sekretariat Pusat Islam (SPI), Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) dan Sekretariat Rakan Siswa YADIM (RSY).  

Penganjuran kali kedua ini menyaksikan lebih 20 program dan aktiviti yang dilaksanakan meliputi pelbagai tujahan khususnya dalam hal ehwal kerohanian. Terbahagi kepada beberapa tema iaitu Fiqh, Aqidah, Tafsir, Sirah, Psikologi, Hijrah, Hal Ehwal Wanita & Santunan Golongan OKU. 

Antara panel jemputan forum adalah Ustaz Dato’ Kazim Elias, Ustaz Harryanto Rizal, Syeikh Abdul Karim Al-Makki, Ustazah Fatimah Syarha dan ramai lagi meliputi figura dari dalam dan luar USIM. 

Selain aktiviti pengisian, terdapat juga aktiviti santai yang bertujuan memasyarakatkan masjid kepada orang ramai, antaranya aktiviti pertandingan E-Sport PES 2021, Congkak, Rush Design (Rekacipta Poster Terpantas), Klinik Rimayah (Bengkel Asas Memanah) dan banyak lagi.  

Menurut Muhammad Nur Fathi Mohd @ Mohamad Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam selaku penyelaras program berkata, tercetusnya idea untuk mengadakan Karnival Warm-Up Ramadan (KWUR) tujuan utamanya adalah ingin memupuk kesedaran masyarakat akan kehadiran Bulan Ramadan yang memerlukan persiapan jitu agar ibadah yang dijalani bertepatan dengan tuntutan syarak selain membentuk sahsiah murni dalam kalangan masyarakat bagi menjadi insan kamil yang cemerlang dunia akhirat”. 

Jelasnya lagi, kelainan pada karnival kali ini adalah program Qiam & Explore: Lighten Up Your Day berkonsepkan Explorace yang dimulai seawal jam 4 pagi dengan ibadah-ibadah sunat yang dilakukan secara berjemaah. Program ini juga dapat merealisasikan elemen-elemen tarbiah dalam jiwa seseorang dalam mempersiapkan diri sebelum bertemu Ramadan selari dengan pemantapan citra Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dalam setiap diri mahasiswa, mahasiswi dan masyarakat khususnya.  

Perasmian penutup dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademi dan Antarabangsa Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim. 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan