NILAI – Kompleks Sukan Tunku Najihah, USIM bergema dengan sorakan semangat apabila lebih 300 peserta membanjiri Karnival Kokurikulum dan Sukan 2025 anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) yang berlangsung pada 21 Jun 2025 baru-baru ini. Karnival yang berlangsung dengan penuh warna-warni dan semangat kesukanan ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi turut menjadi platform penting dalam memupuk nilai kepimpinan, disiplin, semangat berpasukan serta gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.

Peserta karnival terdiri daripada pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pelajar sekolah sekitar Nilai termasuk Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin dan Sekolah Kebangsaan Desa Cempaka, serta komuniti setempat. Gabungan pelbagai aktiviti seperti sukan, klinik sukan dan gerai jualan menjadikan suasana karnival meriah dan inklusif, sekaligus menarik pelbagai lapisan masyarakat.

Pertandingan bola jaring yang berlangsung di bawah program Netstorm Tournament turut memeriahkan acara, dengan penyertaan aktif dari pelajar sekolah. Tambahan pula, karnival ini turut mendapat kerjasama daripada pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Seremban yang bertindak sebagai pasukan medical cover, memastikan aspek keselamatan dan kesihatan peserta sentiasa terjaga sepanjang program berlangsung.

Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah klinik bola sepak, klinik futsal dan klinik bola tampar yang dikendalikan oleh jurulatih berkelayakan. Klinik-klinik ini bertujuan memberi pendedahan awal terhadap teknik, kemahiran serta pemahaman peraturan dan strategi dalam sukan masing-masing. Selain memupuk minat, ia juga menjadi medan mencungkil bakat baharu yang berpotensi digilap ke peringkat lebih tinggi.

Penganjuran turut diserikan dengan beberapa kejohanan sukan seperti memanah, bola jaring dan tenis, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta universiti awam dan sekolah. Kejohanan memanah misalnya, menyaksikan ramai peserta mencuba kemahiran masing-masing dalam format pertandingan sebenar, sekali gus menguji daya saing dan semangat kesukanan mereka.

Menariknya, karnival kali ini turut menerapkan elemen keusahawanan melalui aktiviti jualan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Urusetia Kokurikulum Pelajar (UKP). Inisiatif ini memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman sebenar dunia perniagaan sambil membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, pengurusan, kepimpinan dan kerja berpasukan.

Menurut Dr. Mohamad Hafizuddin Mohamed Najid, Penyelaras Teras 2, PPKI, selaku pengarah program berkata, penganjuran karnival ini bertepatan dengan objektif PPKI dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.

“Karnival ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat dan minat masing-masing, malah mampu membina keyakinan diri, memupuk disiplin dan nilai murni. Penyertaan aktif dalam aktiviti luar seperti ini amat penting dalam pembangunan holistik mahasiswa”, jelas beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk jurulatih, ibu bapa dan komuniti setempat yang menyokong penuh usaha ini.

Karnival ini diharap akan terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh warga USIM dan komuniti sekitar, dalam usaha membentuk generasi pelajar yang aktif, berdaya saing dan holistik.