NILAI, 1 APRIL 2015 – Kelab Enactus terus bergiat aktif dalam menjayakan program kesukarelawan dan bersama komuniti setempat bagi membantu masyarakat disamping mendidik ahli kelab memupuk semangat kesekawanan dan saling kerjasama.
Kelab Enactus USIM telah menjalankan empat projek utama iaitu, Projek Golden Oil, Projek Musaceae , Projek Financial Literacy dan Projek Claridae. Setiap projek diperkenalkan dan diurus secara bersama antara Kelab Enactus, Universiti Sains Islam Malaysia dan penduduk setempat dengan tujuan utamanya adalah untuk membantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Bagi membantu Kelab Enactus USIM meneruskan usaha murni untuk menyumbang bakti kepada masyarakat Negeri Sembilan, 1M4U telah menyumbangkan dana sebanyak 17 ribu melalui satu majlis penyerahan cek oleh Encik Muhammad Khairul Amir bin Fadzilah kepada Prof. Dato’ Asin bin Dollah, TImbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mewakili Kelab Enactus.
Dana daripada 1M4U diperoleh hasil daripada pertandingan pembentangan idea ketika EVE Summit 2014 di Putrajaya dengan kerjasama 1M4U yang melibatkan usahawan-usahawan wanita muda yang berminat untuk meluaskan perniagaan mereka. Daripada Sembilan orang pembentang yang telah disenarai pendek, empat darinya adalah wakil Kelab Enactus USIM yang terdiri daripada Nur Atiqah Ismail, Fatin Nur Amalina bt Mansor, Nabila Huda binti Sa’ari dan Nur Hafiza bt Abu Kassim. Mereka membentangkan setiap satu projek Enactus dalam pencarian dana tambahan. Setiap satu projek mendapat dana tambahan berjumlah RM5,000 untuk setiap projek dan RM2,000 untuk projek Financial Literacy.
Puan Siti Nurulhuda Nordin, Penasihat Kelab Enactus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata penglibatan pelajar dalam membuat pembentangan idea kepada pihak luar dapat memberikan maklumat tentang projek yang dijalankan oleh pelajar dan dalam masa yang sama membantu meningkatkan keyakinan diri mereka disamping membantu masyarakat setempat dengan dana tersebut.
“Selain daripada dana daripada institusi luar, Kelab Enactus USIM juga menerima dana tahunan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sendiri. Setiap dana yang diterima amatlah penting demi kelangsungan setiap projek yang dijalankan yang akhirnya segala manfaat setiap projek akan kembali kepada masyarakat, bersesuaian dengan tema Enactus,” FIGHT, EMPOWER, BRIDGE TO A BETTER LIFE.”, jelas puan Siti.
Menurut Presiden Kelab Enactus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) , Aiman Bin Ahmad, beliau amat berharap agar setiap projek yang dijalankan dapat memberi kesan yang positif kepada semua di samping dapat menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh masyarakat setempat. Selain itu, beliau juga menyeru agar semua pihak dapat memberi sokongan dan bantuan demi membantu masyarakat.
Disediakan oleh:
Nur Raishah Abdul Rashid, AJK Perhubungan Awam
Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204