NILAI  – Kelab Media dan Komunikasi Strategik (STRACOMM CLIQUE) telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi sesi 2024/2025 yang berlangsung di Bilik Jubah Senat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 29 Oktober 2025.

Majlis ini diadakan bagi membentangkan laporan kewangan serta laporan aktiviti tahunan, di samping melantik barisan kepimpinan baharu yang akan menerajui kelab untuk sesi 2025/2026.

Majlis turut diserikan dengan ucapan YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, Naib Canselor USIM, yang menzahirkan rasa bangga terhadap peranan aktif STRACOMM CLIQUE sebagai platform pelajar dalam bidang komunikasi dan media strategik.

“Kelab seperti STRACOMM CLIQUE memainkan peranan penting sebagai duta komunikasi USIM — menyampaikan wajah dan suara universiti dengan gaya yang segar, profesional dan berimpak tinggi,” ujar beliau.

“Anda semua adalah storyteller USIM yang membawa naratif tentang keilmuan, integrasi dan keindahan nilai Islam ke khalayak luar melalui media dan komunikasi,” tambah beliau lagi.

Selain pelantikan kepimpinan baharu, AGM kali ini turut menyaksikan penyertaan ahli-ahli baharu yang akan bersama-sama menggerakkan pelbagai aktiviti kelab sepanjang sesi 2025/2026.

Dalam majlis yang sama, penghargaan turut diberikan kepada barisan Majlis Tertinggi sesi 2024/2025 sebagai tanda terima kasih atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam menggerakkan kelab sepanjang tempoh perkhidmatan.

Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada mantan Presiden STRACOMM CLIQUE, Muhammad Akmal Zuhdi, yang menerima tepukan gemuruh daripada hadirin. Dalam ucapannya, beliau menitipkan pesanan penuh semangat kepada kepimpinan baharu agar meneruskan momentum kecemerlangan kelab.

“Saya berharap barisan jawatankuasa baharu dapat terus membawa nama STRACOMM CLIQUE ke tahap yang lebih tinggi dan dikenali di peringkat yang lebih luas. Teruskan semangat kerjasama dan kekalkan keunikan kelab kita,” katanya.

Secara keseluruhannya, majlis berjalan dengan lancar dan penuh semangat kekeluargaan, sekaligus menandakan permulaan yang positif untuk STRACOMM CLIQUE sesi 2025/2026 dalam usaha meneruskan legasi dan mencipta inspirasi di kampus USIM.

 

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar