NILAI, 10 April – Khairul Rozikin Abu Kassim, pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dan Ain Najwa Mohd Latif, pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2014.
Pemilihan mereka berdua sebagai penerima anugerah berprestij ini dibuat semasa Majlis Anugerah Sukan USIM 2014 yang berlangsung gilang-gemilang pada petang semalam di Dewan Besar USIM. Sebanyak 20 anugerah disampaikan antaranya Anugerah Khas Pencapaian Cemerlang, Anugerah Bintang Harapan, Anugerah Pengurus Terbaik, Anugerah Jurulatih Terbaik, Anugerah Pasukan Terbaik dan Anugerah Pasukan Harapan.
Khairul Rozikin yang berasal dari Selangor menyinar dalam acara futsal apabila mewakili Malaysia ke Sukan Universiti Asean kali ke-17 di Palembang, Indonesia pada tahun lalu. Menghadiahkan negara dengan pingat gangsa, beliau membuktikan bahawa USIM juga mempunyai bakat berharga bertaraf antarabangsa.
Bekas pemain bawah 19 tahun Felda United kini aktif sebagai pemain bola sepak dalam Liga Felda Kebangsaan melahirkan rasa syukur kerana anugerah diterima ini merupakan pengiktirafan kedua diterima beliau selepas baru-baru ini turut dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Terbaik Majlis Sukan Universti-universiti Malaysia (MASUM) dalam Majlis Anugerah MASUM 2014 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) yang disempurnakan oleh YB P Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan II.
Bagi Ain Najwa, mewakili USIM dalam acara Pencak Silat dalam Kejohanan Silat MASUM tahun lalu dan berjaya menggondol Pingat Perak, ternyata memberi tuah kepadanya untuk dipilih sebagai Olahragawati USIM kali ini.
Staf Jabatan Keselamatan iaitu Shah Ruddin Harun dan Wan Azura Radzuan, staf Jabatan Perpustakaan dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati bagi kategori Kakitangan. Shah Ruddin menghadiahkan Pingat Perak dalam acara tarik tali Sukan Kakitangan Universiti-universiti Malaysia (SUKUM) manakala Wan Azura atas pencapaiannya berstatus Master Tenpin Boling. Ini merupakan anugerah Olahragawati kedua diterimanya selepas kali pertama pada 2014. Kesemua mereka membawa pulang piala pusingan, trofi dan sijil penghargaan.
Majlis yang diurusetiakan oleh Pusat Sukan ini merupakan platform untuk menghargai sumbangan dan komitmen yang diberikan oleh atlit khususnya dan mereka dalam pembangunan sukan di USIM sepanjang tahun 2014 diperingkat domestik dan antarabangsa. Ia sebagai dorongan dan motivasi kepada penggiat sukan untuk bersama menjayakan sukan universiti dan negara.
Pada majlis yang sama juga, Dato’ Prof. Dr. Asma Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia diberikan penghargaan Anugerah Tokoh Sukan atas komitmen tinggi beliau yang sentiasa memberi sokongan, kerjasama dan membantu pembangunan sukan di USIM khususnya semasa menjadi Naib Canselor USIM sebelum ini.
Selain itu, Syarikat Asia Pasific Sdn Bhd selaku pengedar bola jenama Molten dipilih perima Anugerah Rakan Sukan atas sumbangan mereka menjayakan Kempen “Satu Bola Sejuta Harapan”.
Kesemua penerima anugerah dalam majlis ini diraikan oleh Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan Pengurusan Kanan Universiti.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204