NILAI, 18 November 2020 – Kolej Genius Insan (KGI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan USIM ‘Alamiyyah menganjurkan International Junior Researcher Conference 2020 (iJURECON 2020) secara virtual melalui aplikasi Zoom yang berlangsung selama dua hari bermula pada 17 hingga 18 November 2020.

Bertemakan ‘Engaging Young STREAM Researchers’, sebanyak 70 projek pembentangan dari sekolah-sekolah seluruh Malaysia antaranya, Kolej GENIUS@Pintar,dan Sekolah Menengah Sains Selangor, Selangor, Sekolah Menengah Sains Sultan Muhamad Jiwa, Kedah, MRSM Kuala Kubu Baru, Selangor,  MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan,  SMK Impian Emas, Johor, dan SMK Chukai, Terengganu. Turut disertai Madrasah Al Arabiah Al Islamiah, Singapura dan SMP Ar-Rohmah Putri, Indonesia.

Dalam ucaptama yang disampaikan oleh Datuk Dr. Asmah Ismail, Presiden Akademik Sains Malaysia berkata, para pendidik dan murid perlu sedar bahawa kita berada di era industry 4.0 di mana teknik pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada ‘teaching’ sebaliknya berfokus kepada ‘learning’. Selain itu juga, proses pembelajaran juga perlu menitikberatkan pelajar mempelajari sesuatu yang baru dalam membina generasi muda yang lebih kreatif dan inovatif.

“Murid perlu berfikir, bukan lagi untuk menjadi apa apabila besar, tetapi perlu menjadi apa yang perlu diselesaikan apabila besar nanti dan murid perlu dilatih untuk mencipta pekerjaan, bukan mencari pekerjaan sahaja. Murid perlu mengasah diri dengan kemahiran-kemahiran abad ke 21 seperti kemahiran berfikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah, kreativiti, literasi ICT, media dan pengkodan serta interaksi sosial merentas budaya”, tambah Datuk Asmah.

Manakala ucaptama kedua disampaikan oleh Datuk Dr. Habibah Abd Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurut beliau, kemunculan Revolusi Industri 4.0 yang bertumpu kepada bidang-bidang digital dan kecerdasan buatan memerlukan golongan muda mengenalpasti dan merangka strategi mengenai peranan dan sumbangan mereka kepada masyarakat. Golongan muda mestilah lebih proaktif mengasah kemahiran yang sepadan dengan pekerjaan pada masa hadapan.

“Membangunkan minda “Nobelist Mindset” melalui penyelidikan. Melalui penyelidikan, murid dapat mengasah kemahiran dan sera minda mereka untuk melihat kepentingan penyelidikan dalam meningkatkan tahap hidup manusia. Melalui usaha ini, ia membolehkan murid berfikir dan menyediakan suatu penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Apabila  mereka dilatih dari segi mental, fizikal dan fisiologi, mereka mampu menerima secara positif serta mengukuhkan emosi. Seterusnya membina satu ciri Nobelist mindset yang bersedia menerima cabaran serta mudah menerima perubahan”.

Jelas beliau, kepentingan untuk Malaysia memastikan murid-murid dibekalkan dengan ilmu, kemahiran serta nilai melalui pendidikan holistik yang akan membentuk kemahiran universal bagi menghadapi pasaran kerja masa hadapan yang tidak diketahui. Ia merupakan aspirasi negara untuk membangunkan murid ynag seimbang melalui pendekatan holistic di dalam pendidikan.

“Saya memuji USIM dalam penyatuan elemen kerohanian ke dalam STEM, sehingga mempromosikan STREAM dengan penambahan Seni dan Agama. STREAM dalam pendidikan mungkin menjadi teras dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana pelajar akan didorong untuk memperkasakan minda analitik mereka, menjadikan mereka lebih kreatif dalam menghasilkan inovasi yang sememangnya penting dalam dunia yang berubah dengan pantas ini” ujar Datuk Habibah.

iJURECON 2020 merupakan satu persidangan penyelidikan yang menyasarkan penyelidik-penyelidik muda yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah di Malaysia dan antarabangsa bagi berkongsi hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matemaik (Science, Technology, Religion, Engineering, Art and Mathematic, STREAM).

Program ini berfokus kepada bidang akademik dan merupakan medium untuk murid sekolah berkongsi ilmu dan penemuan dari perspektif penyelidikan kepada rakan-rakan di peringkat serantau dan global. Ia juga menjadi tempat murid mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar berkenaan cadangan penambahbaikan bagi penyelidikan yang telah dilaksanakan. Persidangan ini juga berperanan menjadi wadah mempromosikan USIM kepada sekolah-sekolah di bawah Islamic Global School Network serta jaringan sekolah negara.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan