NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkasa keupayaan dan keberanian anggotanya menerusi pelaksanaan Ujian Kemahiran Tempur (UKT) Komponen 3 yang merangkumi latihan abseiling dan rappelling, serta Latihan Keyakinan Diri khas untuk Pegawai Kadet.
Latihan intensif yang berlangsung pada 24 Mei 2025di Balai Bomba dan Penyelamat Nilai ini melibatkan penyertaan seramai 161 peserta, terdiri daripada 2 Pegawai, 5 Pegawai Sukarela, 15 Anggota Lain-Lain Pangkat dan 139 Pegawai Kadet, diketuai oleh Mejar Noor Efendy bin Hj Samih (KJL). Ujian ini merupakan sebahagian daripada keperluan wajib latihan tahunan bagi Anggota Tetap PALAPES, selain memenuhi garis panduan Rancangan Pengurusan Latihan (RPL) Pegawai Kadet Tahun 2021.
Objektif utama latihan ini adalah untuk menguji ketahanan fizikal, keberanian, serta kecekapan taktikal peserta dalam mengaplikasikan teknik abseiling dan rappelling dengan betul. Aktiviti ini juga mendidik peserta mengendalikan situasi sebenar menuruni struktur tinggi menggunakan tali dan peralatan keselamatan yang ditetapkan.
Sesi latihan dimulakan dengan taklimat keselamatan oleh jurulatih bertauliah dari Balai Bomba Nilai, diikuti demonstrasi teknik oleh anggota berpengalaman. Para peserta kemudiannya menjalani ujian secara individu di menara latihan bomba, yang merupakan fasiliti taktikal sebenar dan mencabar, sekali gus memberi pengalaman yang autentik kepada semua yang terlibat.
Menurut Mejar Noor Efendy, latihan ini memberikan impak besar dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan Pegawai Kadet.
“Latihan sebegini bukan sahaja menguji fizikal dan keberanian, malah lebih penting membentuk kepercayaan dalam diri sendiri dan semangat kerjasama sepasukan. Ia juga mempersiapkan Pegawai Kadet untuk menghadapi cabaran sebenar dunia ketenteraan dengan lebih matang dan berdisiplin,” jelas beliau.
“Latihan ini bukan sahaja membina keyakinan diri dan disiplin tinggi dalam kalangan Pegawai Kadet dan Anggota Tetap, tetapi turut memperkukuh kemahiran teknikal dan taktikal, seiring matlamat melahirkan anggota yang berani, terlatih, berkualiti dan berketerampilan tinggi”.
Ujarnya lagi, inisiatif ini juga mencerminkan pendekatan strategik selaras dengan konsep Whole of Government Whole of Society (WoGoS) seperti yang digariskan dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30, khususnya melalui Teras Ke-4 S.I.A.G.A – Gagasan Tentera dan Rakyat. Pendekatan ini menekankan kepentingan hubungan erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi awam seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dalam usaha memperkukuh keselamatan dan kesiapsiagaan negara secara menyeluruh.
Latihan seumpama ini bukan sekadar memantapkan fizikal dan mental peserta, malah menjadi platform penting dalam menjalin sinergi antara pasukan pertahanan dan komuniti awam. PALAPES USIM terus komited melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti tinggi, bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga dari segi jati diri dan semangat ketenteraan.
Oleh: Mej Noor Efendy bin Hj Samih