PORT DICKSON – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan Latihan Kem Tahunan (LKT) selama 15 hari bermula 10 hingga 24 Februari 2026 dengan penglibatan seramai 158 Pegawai Kadet daripada Batch 44 (Senior), Batch 45 (Intermediate) dan Batch 46 (Junior).
Latihan ini dikawal selia oleh dua Pegawai bersama 14 Jurulatih dan Staf serta dibantu oleh empat Pegawai Sukarela dan 16 Pegawai Muda Pelajar. Mereka memainkan peranan penting dalam aspek perancangan, penyelarasan latihan, pentadbiran serta kawalan keselamatan sepanjang latihan berlangsung. Penyelarasan yang sistematik memastikan setiap fasa latihan dilaksanakan secara tersusun, berdisiplin dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Sepanjang latihan, Pegawai Kadet Batch 46 (Junior) diberi penekanan terhadap pembentukan asas sebagai seorang anggota tentera. Latihan tertumpu kepada kemahiran asas ketenteraan seperti kawad kaki bagi membina disiplin dan kepatuhan terhadap arahan. Selain itu, mereka turut menjalani latihan asas ketenteraan meliputi ilmu medan perang (IMP), semboyan, bacaan peta, pengendalian senjata serta pertolongan cemas bagi membentuk jati diri dan ketahanan mental sebagai seorang tentera.
Bagi Pegawai Kadet Batch 45 (Intermediate) pula, latihan lebih tertumpu kepada aspek taktikal dan kefahaman operasi. Antara modul utama yang dilaksanakan ialah Tactical Exercise Without Troops (TEWT) yang memberi pendedahan kepada latihan merangka serta menyampaikan perintah sebagai ketua platun. Mereka turut didedahkan kepada konsep peperangan Counter Insurgency Warfare (CIW) serta pengenalan Operations in Built-Up Area (OBUA) yang memberi gambaran tentang operasi dalam kawasan binaan dan situasi peperangan konvensional. Selain itu, mereka juga berpeluang menyaksikan Demonstrasi Penarikan Kembali yang dilaksanakan oleh penuntut OLE Siri 48/2025 di kawasan latihan Bukit Hitam, Port Dickson.
Sementara itu, latihan bagi Pegawai Kadet Batch 44 (Senior) pula lebih menjurus kepada pengujian tahap kefahaman serta aplikasi konsep peperangan yang lebih kompleks khususnya Conventional Warfare (CW). Latihan ini menguji keupayaan mereka memahami empat fasa peperangan meliputi operasi defensif dan ofensif serta pengendalian operasi Counter Insurgency Warfare (CIW). Penekanan turut diberikan kepada aspek kepimpinan dan pengurusan organisasi platun.
Menariknya, latihan ini turut berlangsung pada permulaan bulan Ramadan apabila 19 Februari 2026 merupakan hari pertama umat Islam berpuasa. Warga PALAPES USIM turut mengisi waktu latihan dengan aktiviti kerohanian seperti tadarus al-Quran pada waktu pagi serta solat sunat tarawih pada setiap malam. Pelaksanaan ibadah ini bukan sahaja mengukuhkan aspek spiritual Pegawai Kadet, malah membentuk keseimbangan antara ketahanan fizikal, mental dan rohani sepanjang menjalani latihan dalam keadaan berpuasa.
Sebagai pengisian penutup, pada hari terakhir latihan, seluruh warga PALAPES USIM telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Pusat Latihan Armor Tentera Darat (PULAMOR). Lawatan ini memberi pendedahan tambahan kepada Pegawai Kadet mengenai peranan serta tanggungjawab Kor Armor Diraja (KAD) semasa perang dan juga ketika aman.
Pelaksanaan LKT ini selaras dengan Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24 yang menekankan aspek kesiapsiagaan (readiness) serta peningkatan profesionalisme latihan. Dalam masa yang sama, program ini turut mendokong Amanat Naib Canselor USIM yang menekankan pembentukan pelajar holistik, berintegriti dan berdaya tahan melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum beruniform.
Secara keseluruhannya, Latihan Kem Tahunan PALAPES USIM 2026 telah dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif latihan yang dirancang. Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Pegawai Kadet serta sokongan padu daripada Pegawai dan Jurulatih membuktikan kesungguhan PALAPES USIM dalam melahirkan Pegawai Simpanan yang kompeten, berdisiplin dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.


