NILAI – Wan Nur Atiqah Wan Suhaimi, graduan Matematik Kewangan Fakulti Sains dan Teknologi antara 361 yang diraikan sempena Majlis Konvokesyen Ke-22 USIM.
Uniknya, dua kakak dan abangnya turut melanjutkan pengajian dalam program yang sama di USIM, menjadikannya sebahagian daripada legasi keluarga. “Saya berasa bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan Matematik Kewangan dalam keluarga kami. Program ini bukan sahaja memperkukuhkan kemahiran akademik saya, malah mengajar pelajaran berharga tentang kerja berpasukan dan kepimpinan,” katanya dengan penuh semangat.
Berasal dari Kelantan, Wan Atiqah, anak bongsu daripada lima beradik aktif menyertai pelbagai program termasuk FIMACS dan Investment Challenge Games. Pengalaman ini, jelasnya, membantu beliau keluar daripada zon selesa. “Menganjurkan program yang melibatkan peserta luar USIM mengajar saya kepentingan komunikasi yang berkesan dan keupayaan menyesuaikan diri. Ini adalah pencapaian penting dalam perkembangan diri saya,” tambahnya.
Namun, di sebalik kejayaannya, Wan Atiqah berhadapan cabaran yang menguji ketabahan dirinya. Beliau mengenang detik penting apabila kehilangan ayah tercinta semasa tahun asasinya di USIM. “Kehilangan ayah adalah saat yang sangat sukar, tetapi saya teringat impiannya untuk melihat semua anaknya berjaya dalam pendidikan tinggi. Itu menjadi motivasi saya untuk terus berusaha demi merealisasikan harapan ibu bapa saya,” ujarnya lagi.
Wan Atiqah kini bertugas sebagai Protégé di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Apabila ditanya mengenai cita-citanya, Wan Atiqah berharap untuk memberi impak bermakna dengan ilmu yang dimilikinya. “Cita-cita saya adalah menjadi seorang guru. Saya percaya pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan, dan saya ingin menyumbang kepada masyarakat dengan berkongsi ilmu yang saya pelajari,” tegasnya.