Bandar Baru Nilai, 19 Februari 2010 – Tema “1 Malaysia Memerangi Dadah” dipilih bersempena dengan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2010 sangat signifikan dengan hasrat dan matlamat kerajaan untuk membanteras dadah menjelang 2015. Tarikh 19 Februari adalah tarikh keramat yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperingati akan tanggungjawab dan peranan rakyat Malaysia untuk memerangi dadah.

Bagi menyahut semangat “1 Malaysia memerangi dadah”, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil langkah proaktif menganjurkan Forum Kebangsaan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah 2010 atau PREVENT 10.  Program yang berlangsung selama 3 hari bermula 18 hingga 20 Februari 2010 bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia telah menghimpunkan 300 orang pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Program yang sudah masuk tahun ke 3 penganjuran menggariskan beberapa objektif iaitu untuk Membincangkan strategi dan pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh mahasiswa IPT dalam menyelamatkan generasi baru dan ahli masyarakat  Malaysia dari gejala dadah.

Selain itu juga program ini dapat meningkatkan kesedaran di kalangan warga IPT mengenai bahaya dadah dan kepentingan pencegahan penyalahgunaan dadah agar mereka bersama-sama mengambil tanggungjawab dan mengupayakan diri dalam pencegahan dadah.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Keselamatan), Datuk Ahmad Fuad Bin Ab. Aziz, kerjasama dan komitmen daripada semua lapisan masyarakat terutama masyarakat mahasiswa, hasrat Kerajaan untuk mewujudkan IPTA bebas dadah dadah dan negara bebas dadah menjelang tahun 2015,  akan dapat direalisasikan sekali gus secara tidak langsung menyumbang ke arah  pencapaian  Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Dalam Negeri  bagi mengurangkan 20% kadar jenayah jalanan yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah menjelang akhir tahun ini.

“Golongan belia amat digalakkan dan dipelawa untuk menjadi sukarelawan AADK seperti Masyarakat Wanita Antidadah (MAWADAH), Rakan Antidadah (RADA), Jawatan Kuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan pertubuhan-pertubuhan NGO’s  bagi membantu AADK dalam melaksanakan  program-program pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah”, katanya lagi.

Beberapa program berlangsung selama 3 hari ini antaranya sesi sepetang bersama Ketua Pengarah AADK, Forum Mahasiswa Memerangi dadah, Deklarasi Mahasiswa Memerangi dadah, Sayembara Puisi 1Malaysia Memerangi Dadah dan banyak lagi.

Oleh :
Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud
Penolong Pendaftar
Unit Komunikasi Korporat
hariri@usim.edu.my
Tel : 06-7988027/8025/8028