KAJANG,1 Mei- Cuti hari pekerja dimanfaatkan oleh seramai lapan orang kakitangan Pusat Kebudayaan dan 35 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkolaborasi dengan penghuni penjara untuk berentap di pentas akhir Festival Cipta Lagu Patriotik (CIPTA) 2014. Program CIPTA yang dianjurkan oleh USIM dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia merupakan program tahunan yang bermula sejak 2008 lagi.

’Pihak penjara telah memilih 57 orang penghuni penjara di peringkat saringan awal untuk program ini. Kemudian, setelah kami membuat pemerhatian dan penelitian yang sebaiknya, kami memilih 15 orang penghuni penjara untuk menyertai program CIPTA ini’ ujar Inspektor Aniza Mohtar, Seksyen Parol.

Menurut beliau lagi, pemilihan dibuat melepasi beberapa fasa yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran dan kerjasama daripada penghuni penjara dalam menjayakan program ini. Setiap pegawai penjara telah diberi notis awal dalam mencari bakat yang terpendam dalam kalangan penghuni penjara seterusnya memberikan pendedahan tentang penulisan lirik dan lagu. Beliau juga berharap hasil karya penghuni di sini dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih utuh agar mereka terasa lebih dihargai.

Shah (bukan nama sebenar)yang merupakan salah seorang penghuni penjara yang mengambil bahagian berkata, dia mendapat idea untuk menulis lirik ini berdasarkan sejarah hidupnya sendiri. Galakan daripada warden juga menyebabkan saya lebih bersemangat untuk menyertai pertandingan ini. Saya juga berharap agar mesej yang saya cuba sampaikan di dalam lirik saya terkesan dalam memupuk perpaduan masyarakat.’’

Sementara itu, Hanafi A. Hamid, pelajar USIM yang merupakan salah seorang peserta program meluahkan keterujaannya berkerjasama dengan penghuni penjara dalam menghasilkan sebuah lagu patriotik yang bersifat kekitaan dan keinsafan selari dengan tema CIPTA yang bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

“Saya berpendapat bahawa program sebegini sangat bagus untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat umumnya. Uniknya, kami diberi peluang untuk bergandingan dengan penghuni penjara untuk menghasilkan sebuah lagu. Memandangkan ini merupakan kali pertama saya menyertai program ini, saya sangat menyokong usaha USIM dalam menaikkan semangat patriotik rakyat melalui penyampaian lagu melalui program sebegini.’’ujarnya lagi.

Sebanyak 15 buah lagu hasil ciptaan pelajar USIM dan 15 buah lagi dari Penghuni Penjara berentap untuk dipilih ke peringkat akhir. Pihak juri akan memilih 4 lagu terbaik dari USIM dan 4 lagu terbaik dari penjara yang menjadikan 8 buah lagu bakal bertanding ke peringkat akhir.

Disediakan oleh:

Pelajar Kebudayaan USIM