NILAI, 10 Okt. – Bahagian Penerbitan sekali lagi menganjurkan Majlis Kalam Bitara 2013 yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.  Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin.  Hadir sama, Naib Canselor USIM, YBhg. Prof Dato’ Dr. Asma Ismail serta Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM, YBhg. Prof. Dr. Mustafa Mohd Hanefah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan.

Dalam majlis tersebut, lebih daripada 50 hadirin termasuk penerima anugerah memenuhi ruang dewan bagi meraikan 80 orang penerima royalti dengan jumlah pembayaran sebanyak RM73,564.22.  Acara dwi tahunan ini merupakan majlis khas bagi menyampaikan bayaran royalti kepada semua penulis yang pernah menulis dengan Penerbit USIM. Pemberian royalti adalah berdasarkan jumlah buku yang terjual dari awal sehingga tahun 2012. Majlis ini bukan sahaja melibatkan para penulis USIM, tetapi juga para penulis dari luar yang pernah menerbitkan buku dengan USIM.

Antara anugerah yang diberikan penghargaan adalah Anugerah Buku Terlaris dan Anugerah Penulis Profilik yang mana penerima-penerima anugerah terdiri daripada En. Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali bagi kategori Bahasa Melayu, Dr. Muhammad Ridhwan Ab. Aziz bagi kategori Bahasa Inggeris dan Prof. Madya Dr. Asma Abdul Rahman bagi kategori Bahasa Arab yang turut menerima Anugerah Penulis Profilik bersama Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali.

YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin dalam ucapannya berkata “Majlis diadakan bukan sekadar memberikan royalti dan penulis menikmati hasilnya begitu sahaja, tetapi apa yang lebih bermakna ialah bukti bahawa kita telah menjalankan tanggungjawab dalam bidang penerbitan.  Pemberian royalti bermakna hak penulis kita masih terjaga dan hak mereka akan dijaga selagi buku-buku tersebut dapat dijual”.

Prof Dato’ Dr. Asma Ismail menekankan bahawa perlunya memantapkan lagi penerbitan jurnal yang ada di USIM bagi mengantarabangsakan karya penulisan dan buku-buku terbitan USIM supaya diangkat di peringkat SCOPUS atau ISI.  Manakala YBhg. Prof. Dr. Mustafa Mohd Hanefah berkata, “Adalah menjadi tanggungjawab untuk meningkatkan jumlah penerbitan selaras dengan usaha USIM untuk terus menerajui penerbitan Sains Islam pada masa yang sama bidang sains sosial dan sains teknologi sentiasa diberi perhatian”.

Sementara itu, penerima anugerah mengucapkan syukur di atas penganugerahan tersebut yang menggalakkan lagi penghasilan penulisan bermutu pada masa akan datang.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar (StraComm)