NILAI – Seramai lebih 800 peserta dari Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Turki hadir menjayakan program Malaysia Quran Night: Kesatuan Islam Melalui Dunia Membaca Al-Quran yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 13 Disember 2025 baru-baru ini.
Presiden Hayrat Malaysia, Ustaz Sadiq Ozata, ketika menyampaikan ucapannya berkata, Al-Quran diumpamakan sebagai ubat yang menyembuhkan penyakit hati dan jiwa manusia.
Menurut beliau, usaha memartabatkan al-Quran tidak seharusnya terhenti pada bacaan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kefahaman terhadap maknanya serta penghayatan yang mendalam dalam kehidupan seharian umat Islam.
“Al-Quran ini ibarat ubat kepada hati. Ia bukan sahaja perlu dibaca, tetapi difahami, dihayati dan dijaga setiap hurufnya agar benar-benar memberi kesan kepada pembentukan iman dan akhlak masyarakat,” katanya.
Ustaz Sadiq turut menjelaskan bahawa penubuhan kilang percetakan al-Quran di Turki merupakan antara inisiatif strategik Hayrat Foundation bagi memastikan mushaf al-Quran dapat dicetak secara berkualiti, terpelihara dari sudut ketepatan huruf dan kaedah penulisan, serta mudah diagihkan kepada umat Islam di seluruh dunia.
Sehingga kini, beliau memaklumkan bahawa lebih sejuta naskhah al-Quran telah berjaya diedarkan ke pelbagai kawasan termasuk negara-negara di benua Afrika dan rantau ASEAN, khususnya kepada komuniti yang berdepan kekangan akses terhadap mushaf al-Quran.
Selain misi penyebaran al-Quran, Hayrat Foundation juga aktif melaksanakan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa, khususnya di kawasan yang dilanda konflik, kemiskinan dan bencana, selari dengan prinsip Islam yang menekankan keseimbangan antara dakwah, ilmu dan kebajikan.
Program Malaysia Quran Night yang dianjurkan oleh Hayrat Humanitarian Aid Association dengan kerjasama Pusat Islam USIM dan rakan-rakan kolaborasi lain ini bertujuan menyemarakkan kesatuan ummah melalui al-Quran serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan waqaf mushaf sebagai amal jariah berterusan. Program ini turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran, syarahan ilmiah, tayangan video penghayatan serta perkongsian berkaitan kempen waqaf “Dunia Membaca Al-Quran”.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa al-Quran bukan sekadar kitab bacaan ritual, tetapi sumber kekuatan rohani, panduan kehidupan dan asas penyatuan umat Islam sejagat.

