Sebagai tuan rumah Karnival Sukan MASUM fasa 1, USIM komited dalam memastikan para atlet dan petugas karnival berada dalam keadaan yang baik dan selesa. Ini termasuklah dengan menyediakan pasukan perubatan yang terdiri daripada tiga pegawai perubatan, enam staf paramedik bersama 20 sukarelawan perubatan (pelajar) bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan sepanjang karnival sukan berlangsung.
Bukan hanya di lapangan acara sahaja, petugas perubatan ini turut diletakkan di kolej-kolej kediaman yang menjadi lokasi penginapan para atlet selain di klinik kesihatan sedia ada yang beroperasi di USIM.
Mohd Azrul Asuad Mohd Zain salah seorang staf paramedik yang bertugas ditemui berkata, pasukan paramedik telah bersedia menggalas tugas yang diberikan secara total, dan tugasan dilaksanakan secara penggiliran di lapangan acara dan di klinik kesihatan sekiranya berlaku kecederaan dan kecemasan.
“Setakat ini keadaan terkawal dan atlet yang cedera hanya mengalami kecederaan ringan sahaja. Bagi kecederaan serius pasukan paramedik akan merujuk pesakit untuk dibawa ke hospital terdekat iaitu di Hospital Tunku Jaafar Seremban”, ujar Azrul.
Disediakan oleh:
Nur Maisarah Mohd Zaimee (StraComm Clique)
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan