NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar langkah baharu dalam memupuk budaya ilmu dengan memperkenalkan program Human Library, sebuah inisiatif oleh Jabatan Perpustakaan yang membuka ruang kepada staf USIM untuk berkongsi kisah hidup, cabaran, serta bakat luar biasa yang tersembunyi di sebalik tugasan rasmi mereka.
Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, berlangsung semalam, 10 September 2025 di Perpustakaan USIM dengan mengetengahkan konsep “buku hidup”. Melalui pendekatan ini, staf dari pelbagai lapisan sama ada sokongan, akademik atau pengurusan, tampil menceritakan pengalaman yang jarang tersingkap di balik meja kerja.
Menurut Naib Canselor, Human Library bukan sekadar wadah berkongsi cerita, tetapi platform untuk mengukuhkan rasa kebersamaan dalam komuniti kampus.
“Kisah benar staf kita mampu meniup semangat, memberi motivasi, dan membuktikan bahawa keterbatasan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan,” katanya ketika berkongsi pengalaman peribadi bertajuk “Merentas Sempadan Ilmu: Kisah Anak Johor di Bumi Cambridge.”
Sementara itu, Ketua Pustakawan USIM, Datin Nor Azzah Momin, menegaskan program ini seiring dengan aspirasi perpustakaan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran warga kampus.
“Melalui Human Library, kami mahu menampilkan insan sebagai sumber ilmu dan inspirasi, bukan hanya bergantung pada bahan bercetak,” ujarnya.
Dilaksanakan secara bersemuka sebulan sekali di perpustakaan dan turut disiarkan secara langsung, Human Library memberi peluang kepada lebih ramai warga USIM untuk mendengar kisah menyentuh hati, berinteraksi secara terbuka dengan “buku hidup”, serta merasai sendiri kekuatan di sebalik naratif mereka.
Lebih daripada sekadar sesi perkongsian, Human Library adalah pentas untuk menyingkap sisi unik warga USIM bahawa di sebalik tugasan seharian, tersimpan bakat terpendam, kisah ketabahan, dan inspirasi yang wajar dikongsi demi menyemarakkan semangat komuniti kampus.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani