LABU – Sebagai langkah proaktif dalam memupuk kesedaran holistik tentang kepentingan keselamatan siber dalam kalangan generasi baharu, satu inisiatif pemerkasaan kesedaran keselamatan siber telah dijalankan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, pada 15 Mei 2024 baru-baru ini. Program komuniti ini telah dijayakan dengan penglibatan seramai 52 mahasiswa tahun 2 Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama penasihat program iaitu Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay. Program ini juga telah berjaya memperoleh sokongan melalui suntikan dana dari geran sumbangan komuniti yang diberikan oleh Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.

Dengan membawakan tema  Cyber Hasanat: Memerangi Taktik Kejuruteraan Sosial, seramai 136 peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 3 SMAP Labu telah diberi pendedahan mengenai realiti dunia siber yang kompleks dan mencabar serta menggalakkan komuniti untuk mengambil langkah proaktif dalam melindungi diri mereka sendiri dan masyarakat dari ancaman siber yang berkembang pesat. Program perasmian telah disempurnakan oleh Puan Umi Kelsom Nayan merangkap Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Penasihat Cyber Hasanat Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay berkata “Program ini juga memberi ruang kepada mahasiswa USIM untuk memperkasa kemahiran insaniah serta membantu negara mengurangkan kadar statistik jenayah siber melalui hasanat (amalan baik) dalam keselamatan siber. Program ini diharapkan dapat memupuk nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa melalui libatsama masyarakat bertepatan dengan modul Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) USIM”.

“Beberapa aktiviti menarik telah berjaya dilaksanakan termasuklah slot ceramah yang bertujuan untuk memberi pemahaman mengenai serangan kejuruteraan sosial dalam dunia siber. Selain itu, papan permainan interaktif Secure Cybercitizenship (SET) turut disediakan bagi memberi peluang kepada peserta untuk mendalami pengetahuan mengenai ancaman dan langkah keselamatan dunia siber dengan cara yang lebih menyeronokkan dan berinteraktif”.

Ujarnya lagi, aktiviti eksplorasi juga telah dijalankan di mana peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan tugasan yang menggabungkan aktiviti fizikal dan teka-teki dunia keselamatan siber.

Sementara itu, Puan Umi Kelsom Nayan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dalam ucapannya berkata, “Keselamatan siber bukanlah tanggungjawab individu semata-mata, tetapi ia adalah tanggungjawab bersama. Melalui program ini, kita berharap agar para pelajar dapat mempelajari amalan terbaik dalam keselamatan siber dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Pengetahuan ini bukan sahaja penting untuk melindungi diri sendiri, tetapi juga untuk memastikan keselamatan komuniti kita secara keseluruhan.”