NILAI, 5 FEB 2015 – “Mendukung hasrat untuk menjadikan USIM sebagai pusat rujukan integrasi Naqli dan Aqli, warga USIM disaran menghayati, memahami dan mendukung visi dan misi USIM serta bekerja dalam semangat keserakanan bagi menjadikan USIM sebagai pusat rujukan integrasi Naqli dan Aqli di peringkat serantau menjelang tahun 2016 dan di peringkat global menjelang tahun 2025”. Begitulah kata-kata amanat oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad pada majlis amanat beliau kepada warga USIM yang berlangsung di Dewan Besar.

Pusat Tanggungjawab (PTJ) baru atau diberi nama Pusat Pengembangan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli bakal menjadi penggerak utama untuk merealisasikan halatuju USIM iaitu untuk menjadi universiti terkemuka dunia dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli melalui pendekatan pelan tindakan yang strategik, komprehensif dan efektif.

“Objektif penubuhannya bagi memperkasakan budaya integrasi ilmu Naqli dan Aqli dikalangan warga USIM melalui program latihan. Pusat ini juga memainkan peranan untuk menyebar luas falsafah, prinsip dan amalan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dikalangan masyarakat khususnya organisasi awam dan industri melalui seminar dan program libat sama”, jelas Dato’ Musa.

Sebanyak dua belas (12) tindakan strategik telah diatur bagi merealisasikan hasrat USIM’16 antaranya pemerkasaan agenda integrasi Naqli dan Aqli melalui penubuhan Pusat Pengembangan Integrasi Naqli dan Aqli. Keduanya, penjanaan kewangan dan autonomi, dengan meningkatkan sumbangan pelbagai dana wakaf, Zakat dan Endowmen; memperkasakan anak syarikat USIM dan melaksanakan aktiviti penjanaan pendapatan PTJ melalui Akaun Enterprise. Dan ketiga, pengembangan akademik dan e-Pembelajaran, dengan bakal menawarkan tiga (3) program pengajian baharu pada tahun 2015 seperti Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam dengan Kepujian, Sarjana Perbankan Islam dan Sarjana Kewangan Islam. Selain, memperkenalkan beberapa program baharu seperti Massive Open Online Course (MOOC) Kebangsaan, dan juga Kursus MOOC Edraak dan turut bekerjasama dengan universiti luar negara dalam penawaran program pasca-siswazah secara atas talian (ODL).

Justeru itu, kekuatan mental dan semangat yang tinggi di samping rasa cinta yang mendalam kepada USIM adalah faktor yang membawa kepada pencapaian sasaran USIM ’16 yang selari dengan kempen #iloveusim yang telah dilancarkan pada tahun lepas. kempen #iloveusim akan terus dipertingkatkan pada tahun ini apabila 17 tema telah diperkenalkan pada tahun lepas dan pada tahun ini 13 tema lagi akan menyusul.

Majlis turut melancarkan logo sambutan 15 tahun USIM dan penyampaian anugerah e-pembelajaran USIM tahun 2014 kepada pensyarah aktif dan inovatif GOALS seramai 18 orang yang disampaikan oleh Pengerusi LPU, YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204