SINAPORE – Semangat dan keinginan untuk meneroka bidang ilmu baharu serta meluaskan khidmat baktinya kepada golongan yang memerlukan telah mendorong Suhaila Sulaiman, 27, alumni Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk terjun ke dalam dunia dakwah bagi Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya dalam komuniti pekak sebagai jurubahasa isyarat.
Beliau yang berasal dari Singapura kini berkhidmat sebagai jurubahasa isyarat Singapura sepenuh masa di Persatuan Orang Pekak Singapura (The Singapore Association for the Deaf, SADeaf).
Anak bongsu dari lima adik beradik ini telah mengikuti kursus Pengajian Quran Braille bersama Prof. Madya Dr. Norakyairee Mohd Raus, yang merupakan pensyarah USIM ketika itu dan beliau telah dipelawa untuk menyertai Sekretariat Sahabat FAQEH (SaF@USIM), iaitu persatuan untuk memperjuangkan hak dan kebajikan OKU, terutamanya OKU pendengaran. Detik itulah menjadi titik permulaan penglibatannya dalam bidang dakwah OKU Pendengaran.
Motivasi utama yang mendorong penglibatannya dalam bidang ini adalah rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap khidmat masyarakat, yang beliau anggap sebagai anugerah daripada Allah.
Ketika pengajiannya di USIM, Suhaila turut terlibat dalam pelbagai program seperti Kem Huffaz Pekak dan Jom Dhuha Anak Istimewa, serta menjadi tenaga pengajar dalam Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS) yang membimbing OKU Pendengaran membaca Al-Quran sepanjang bulan Ramadan semenjak Covid-19 pada tahun 2020.
Setelah menamatkan pengajiannya dan kembali ke Singapura, usaha gigihnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menjadi jurubahasa isyarat bagi settings yang berbeza dan meluas. Antaranya, ceramah agama, majlis perkahwinan, khutbah Hari Raya, kursus Haji dan Umrah, serta pelbagai lagi acara di masjid, hospital, balai polis dan mahkamah.
Suhaila berkata, walaupun penuh dengan kepuasan, tugas ini tidak lari daripada cabaran. Antara cabaran sebagai jurubahasa isyarat adalah memahami isi kandungan mesej yang hendak disampaikan. Adakalanya, ia memerlukan persediaan awal, yang kadangkala sukar jika bahan tidak diberikan lebih awal. Selain itu, ekspresi muka dan bahasa badan juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan maksud yang tepat.
“Saya sering mengimpikan untuk menjadi luar biasa dan melakukan sesuatu yang berbeza dan bermakna. Dakwah OKU ini membuktikan bahawa khidmat yang disumbangkan mengajar kita untuk menjadi inklusif dan sentiasa mengharapkan ganjaran dan balasan hanya dari Allah. Malah, khidmat ini istimewa dan unik kerana ia satu bentuk komunikasi yang bukan sahaja menyampaikan maklumat tetapi juga kasih sayang, sokongan, dan doa”, ujar Suhaila.
Menurut Suhaila lagi, sentiasa berpegang kepada mesej yang dikongsikan oleh Dr. Norakyairee supaya sentiasa melibatkan OKU dalam apa jua aktiviti, supaya mereka merasa mereka adalah sebahagian daripada kita. Pendekatan ini mendorong semangatnya bersama dengan hadith yang mendalam daripada Rasulullah SAW: “Allah sentiasa menolong hambaNya selama ia menolong saudaranya.” (Hadith Riwayat Muslim) Petunjuk rohani ini memperkukuhkan komitmennya untuk terus berdakwah kepada komuniti OKU Pendengaran dan menunjukkan kepentingan memberi akses untuk mereka mendapatkan hak beragama.
Pesanan beliau kepada mereka yang ingin menyertai dunia dakwah OKU, “Jadilah berbeza!” Ketakutan untuk menceburi bidang baharu tanpa rakan atau perasaan sunyi tidak seharusnya menjadi penghalang. Perjalanan yang sukar pada awalnya tidak bermakna ia adalah jalan yang salah.” Pengalamannya membuktikan bahawa ketabahan, minat, dan keikhlasan boleh mengubah cabaran menjadi kejayaan.
Untuk mereka yang ingin membuat perubahan, beliau menekankan pentingnya minat dan komitmen, serta keperluan untuk bersabar dalam menghadapi cabaran. Allah akan sentiasa hadirkan orang-orang yang baik untuk menyokong dan membantu kita berkembang,” katanya lagi.