NILAI: “Mahasiswa jangan terlalu asyik dengan kesenangan dan kekaburan dunia.” Harapan itu diluahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam ucapannya ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan serta Pelancaran 1M4U Outreach Centre dan University Community Transformation Centre (UCTC) yang berlangsung di Galeri Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Dalam majlis tersebut, beliau menyerahkan cek bernilai RM 500,000 kepada pihak USIM dalam usaha membantu meningkatkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kemahasiswaan, kesukarelawanan dan pengantarabangsaan pelajar USIM. Sumbangan yang diberikan ini adalah kesinambungan daripada janji YAB. Menteri Besar untuk membantu USIM semasa menyampaikan amanat beliau ketika Minggu Ta’aruf Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2012/2013 lalu.
Katanya, para belia negara perlu diurus dengan sebaiknya kemahuan mereka. Ini kerana, mereka mempunyai minda dan tenaga yang kuat, justeru ia perlu disalurkan ke tempat yang sepatutnya bagi mengelakkan mereka terlibat dengan masalah sosial.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail dalam ucapannya berkata “Semangat kesukarelawan perlu diteruskan oleh setiap mahasiswa USIM walaupun telah memasuki alam pekerjaan”.
“Telah menjadi hasrat YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak supaya setiap IPTA menubuhkan 1Malaysia 4Youth Outreach Centre (1M4U). Ini bertujuan untuk memberi dorongan dan memupuk budaya kesukarelawanan di dalam diri setiap pelajar agar mereka prihatin dan mengambil berat dengan persekitaran. Pelajar juga digesa menyumbang khidmat dan bakti kepada komuniti dan masyarakat yang memerlukan sokongan tanpa mengira peringkat umur dan bangsa, samada di dalam atau di luar negara”, ujarnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Y. Bhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin, wakil agensi- agensi kerajaan dan pemimpin komuniti setempat. Pelbagai aktiviti sampingan diadakan di sekitar Galeri Hal Ehwal Pelajar yang disertai oleh para pelajar dan masyarakat yang hadir ke program ini.
Y.A.B. Menteri Besar turut dibawa melawat demonstrasi khat, membuat kek, persembahan kesenian kompang dan selawat pelajar pra-sekolah, demonstrasi tulisan Braille bersama orang kelainan upaya yang merupakan antara aktiviti kesukarelawan pelajar USIM.
Disediakan oleh:
Ejen Berita HEP (EB Mar, EB Diba dan EB Nath)
Disunting oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)