Bagi sesetengah mahasiswa, melangkah ke universiti bukan sekadar memulakan pengajian, tetapi membawa bersama harapan dan pengorbanan keluarga yang menjadi sumber kekuatan untuk mereka terus mengejar cita-cita.
Bagi dua anak jati Besut, Terengganu, Nurul Balqis Farhanah Muhammad Yatim, 20, dan Siti Aisyah Che Shamsudin, 20, peluang melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi satu pencapaian bermakna dalam kehidupan mereka.
Kedua-duanya merupakan antara 3,173 mahasiswa baharu Sesi Akademik 2026/2027 yang mendaftar masuk ke USIM pada tahun ini, dengan pendaftaran Program Sarjana Muda berlangsung pada 15 September 2026 di Dewan Tuanku Canselor (DTC), USIM.
Dibesarkan dalam keluarga sederhana dengan bapa masing-masing bekerja sebagai buruh kasar, keadaan tersebut tidak mematahkan semangat kedua-duanya untuk melanjutkan pengajian, malah menjadi dorongan untuk membina masa depan yang lebih baik.
Bagi Nurul Balqis Farhanah, kehadirannya di USIM membawa harapan untuk membalas jasa ibu dan bapanya yang banyak berkorban dalam membesarkannya.
Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, beliau menyimpan impian untuk menjadi seorang pendidik atau ustazah, selaras dengan harapan kedua-dua ibu bapanya.
“Harapan saya cuma ingin membuat ummi dan abah berasa bangga dengan melihat kejayaan saya suatu hari nanti sebagai seorang pendidik atau ustazah,” katanya.
Perjalanan Farhanah bagaimanapun tidak mudah apabila ibunya, seorang suri rumah, diserang strok pada bahagian tangan kanan sejak lima tahun lalu ketika beliau berada di Tingkatan Tiga. Keadaan itu menyebabkan bapanya memikul tanggungjawab lebih besar sebagai pencari nafkah dan menjaga keluarga.
Minatnya dalam bidang pengajian Islam akhirnya membuka laluan untuk beliau melanjutkan pengajian di USIM, selain menerima bantuan pembiayaan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Malah, selepas tamat peperiksaan, Farhanah turut berusaha mengumpul wang saku sendiri dengan bekerja sebagai guru ganti kelas mengaji al-Quran.
“Saya rasa sangat bersyukur dan gembira kerana USIM menawarkan bidang pengajian yang amat saya minati,” katanya.
Sementara itu, Siti Aisyah pula mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi anak pertama daripada tujuh beradik dalam keluarganya yang melanjutkan pengajian ke universiti.
Kesemua adik-beradiknya sebelum ini memilih untuk memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menjadikan kemasukannya ke universiti satu pencapaian yang cukup bermakna buat keluarga.
Menurutnya, kekangan kewangan dan jarak perjalanan yang jauh antara Besut dan USIM menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi. Namun, keadaan itu tidak mengubah keputusannya untuk meneruskan pengajian.
“USIM merupakan universiti pilihan kerana kekuatannya dalam menawarkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli serta pengkhususan bidang Islam. Walaupun timbul kekangan kewangan dan pengangkutan, saya berazam untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian di sini,” katanya.
Siti Aisyah turut membawa harapan ibu bapanya untuk melihat beliau bergelar seorang ustazah, khususnya dalam bidang bahasa Arab.
“Saya bertekad membuktikan bahawa anak seorang buruh juga mampu bergraduasi di peringkat universiti,” jelasnya.
Kisah Farhanah dan Siti Aisyah memperlihatkan bagaimana pendidikan menjadi ruang untuk anak-anak daripada keluarga sederhana membina masa depan dan mencapai cita-cita yang diimpikan.
Kehadiran mereka bersama ribuan mahasiswa baharu lain di USIM juga mencerminkan kepelbagaian latar belakang dalam komuniti universiti, selain memperlihatkan bahawa peluang pendidikan tinggi mampu membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk mengembangkan potensi diri.
Bagi kedua-duanya, perjalanan sebagai mahasiswa USIM baru sahaja bermula. Namun, dengan membawa bersama doa dan harapan keluarga, langkah pertama mereka ke menara gading menjadi permulaan kepada usaha untuk membuktikan bahawa cabaran kehidupan bukan penghalang untuk seseorang mengejar ilmu dan membina masa depan.
Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin, Aina Farzana Azrul Anuar

