NILAI – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail dikurniakan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) oleh DYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit, semalam.

Darjah Kebesaran tersebut dianugerahkan sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-85 pada 20 Januari 2013.

Seramai 60 daripada keseluruhan 87 orang penerima Darjah kebesaran Negeri dikurniakan dengan Darjah Kebesaran tersebut yang turut membawa gelaran Dato’.

Antara penerima DSDK yang lain ialah Yang Teramat Mulia (YTM) Datin Tunku Marina Tan Sri Tunku Annuar; Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Dr Ismail Salleh; Anggota Parlimen Kuala Kedah Ahmad Kasim; Anggota Dewan Negara Muhamad Yusof Husin; Pegawai Daerah Langkawi Harun Jasin; Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim dan YTM Tunku Muzafar Shah Datuk Tunku Jaafar Laksamana.

Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail yang memulakan tugas beliau pada 1 Disember 2012 yang lalu merupakan Naib Canselor wanita pertama yang menerajui universiti ini dan merupakan Naib Canselor ketiga selepas YBhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Pihak Pengurusan Tertinggi serta seluruh warga USIM mengucapkan tahniah dan syabas di atas anugerah yang diterima YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa