NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) terus komited memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penganjuran program inklusif berimpak tinggi, selari dengan aspirasi “Indahnya Hidup Bersyariat”. Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh Pengarah UMMI, Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee Bin Mohd Raus.
Terbaharu, program Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS) 2025 anjuran Sahabat Faqeh (SaF@USIM) memberi ruang kepada komuniti OKU Pendengaran untuk menghayati keistimewaan Ramadan sebagai bulan al-Quran. Menariknya, para peserta mempelajari bacaan al-Quran menggunakan kaedah Al-Rasm Al-Ishari, iaitu pendekatan unik menerusi Kod Tangan Quran (KTQ).
Berlangsung sepanjang Ramadan lalu, dari 2 Mac hingga 23 Mac 2025, program ini bertujuan membudayakan amalan membaca al-Quran dalam kalangan komuniti OKU Pendengaran. Peserta didedahkan dengan teknik bacaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka yang tidak dapat mendengar dan bertutur.
Menurut Penyelaras UMMI merangkap Penyelaras Sekretariat SaF@USIM, Dr. Siti Fatimah Mohd Tawil, penganjuran OTTS kali keenam ini menampilkan kelainan yang lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Program ini melibatkan 32 orang asatizah, 30 fasilitator dan 30 peserta OKU Pendengaran dari seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, dan juga luar negara seperti Singapura dan Indonesia. Menariknya, tiga orang asatizah OKU Pendengaran turut berperanan sebagai tenaga pengajar,” katanya.
Ujar Dr. Siti Fatimah,program dibahagikan kepada tiga segmen. Pada segmen pertama, peserta OTTS khatam 30 juzuk iaitu sesi bacaan al-Quran secara talaqqi dalam kumpulan masing-masing dengan pembahagian setiap kumpulan dengan 1 juzuk selama 1 jam setiap hari melalui aplikasi google meet. Segmen kedua pula, merupakan kelainan dan keunikan bagi sesi OTTS kali ini iaitu pembelajaran Pra-Tilawah Quran Al-Rasm Al-Ishari yang dikendalikan oleh asatizah OKU Pendengaran pada setiap hari Ahad melalui google meet. Akhir sekali, segmen ketiga ialah penceritaan kisah di dalam surah pilihan dan hadis yang disampaikan oleh felo asatizah pada setiap hari Ahad melalui google meet.
Program ini membuktikan bahawa dengan pendekatan inklusif dan sokongan sistematik, komuniti OKU Pendengaran juga mampu menghayati dan mendalami ajaran al-Quran dengan berkesan. Diharapkan pendekatan OTTS ini dapat menjadi modul rujukan dan bahan bantu utama dalam pendidikan al-Quran bagi komuniti istimewa ini.