NILAI, 30 Julai 2014 – Selain gubahan lagu Hari Raya versi baharu yang dinanti setiap kali menjelang Aidilfitri, iklan Hari Raya yang diterbitkan oleh syarikat korporat seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia dan stesen-stesen telivisyen yang memaparkan pelbagai mesej melalui jalan cerita lucu, sedih dan berunsur kekeluargaan turut menjadi perhatian dan mempunyai peminat tersendiri sejak dahulu.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut mengambil pendekatan untuk menghasilkan iklan Hari Raya Aidilfitri untuk berkongsi kemeriahan menyambut Syawal. Iklan berjudul “Dua Lebih Baik” yang mula dimuatnaik ke laman YouTube pada 21 Julai oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) terus mendapat perhatian pengguna media sosial dengan pantas sehingga tersenarai antara 10 iklan Hari Raya yang menjadi trending di laman sosial melalui survey (tinjauan) yang dibuat oleh portal berita online Astro Awani mulai 26 Julai. Walaupun tidak ditayangkan di telivisyen, ternyata kemudahan melayari laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Intagram menggunakan telefon pintar oleh pengguna kini terbukti memberi pengaruh yang besar.

Iklan Hari Raya lain yang turut mendapat perhatian dan digemari oleh penonton sepanjang Aidilfitri ini adalah Kosong-Kosong : Zizan Rizak (Astro); Anugerah (RTM); Sentiasa Bersamamu (Tenaga Nasional); Proton Sepanjang Raya (Proton); Adik (Telekom Malaysia) ; Nissan 2015; Kosong-Kosong : Lisa Surihani (Astro).

Tinjauan di laman Astro Awani sehingga 12.00 tengah hari tadi menunjukkan iklan raya terbitan USIM kekal mendahului pada kedudukan pertama (35.41%), diikuti Sentiasa Bersamamu (34.24%) dan Adik (12.95%) hasil undian para penonton.

Dua Lebih Baik yang dihasilkan oleh sekumpulan pelajar kreatif USIM yang menamakan produksi mereka Light Motion Production (LMP) mendapat kerjasama teknikal Pusat Komunikasi Strategik menjadikan keinginan seorang pemuda yang berusaha gigih melakukan pelbagai kerja untuk membeli sepasang Baju Melayu idamannya untuk dipakai pada 1 Syawal sebagai tema utama. Pelbagai cabaran dihadapi dengan tabah dan akhirnya upah yang diterima menjadi nikmat rezeki yang dikongsikan bersama dengan mereka yang kurang bernasib baik agar kegembiraan Aidilfitri dapat dirasai oleh semua.

“Kita tidak menyangka iklan yang dihasilkan ini menjadi kegemaran para penonton. Diperingkat awal, kumpulan pelajar ini membentangkan tiga jalan cerita untuk dijadikan iklan raya USIM pada tahun ini dan kita memilih Dua Lebih Baik kerana mesej moral dan jalan ceritanya yang dekat di hati masyarakat kita. InsyaAllah, USIM melalui StraComm akan terus meraikan kreativiti para pelajar untuk menghasilkan pelbagai lagi video menarik selepas ini” ulas Dr Faizal Kasmani, Pengarah StraComm USIM.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar StraComm