KANGAR , 13 April – Penyertaan kali ketiga pasukan robotik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terdiri dari pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST) membawa kejayaan manis kepada pasukan ini apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir dalam pertandingan Malaysia International Robot Competitions (MIRoC) yang berlangsung pada 11 hingga 13 April bertempat di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimep).

Persediaan selama tiga bulan oleh kumpulan pelajar yang terdiri dari Program Fizik Gunaan dan Kejuruteraan Elektronik dan melakukan aspek penambahbaikan hasil pengalaman penyertaan dalam dua edisi MIRoC lalu, ternyata berbaloi apabila muncul sebagai Naib Johan dalam kategori ‘Conquer Robot’ dengan membawa pulang hadian wang tunai RM 3000, sijil dan piala. Tempat pertama diungguli oleh UTM dan ketiga adalah UTP.

Perlu berentap dengan 15 pasukan yang lain dalam kategori yang sama seperti dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia (UM) ternyata memberi cabaran yang hebat dan sengit kepada Kumpulan USIM yang diwakili oleh Afiq Arif Aminuddin, Mohamad Azali Azahar, Amali Zulfadhli Anuar, Muhammad Nasri Tumiran, Ahmad Adli Mohamad Hanafi, Mohamad Zajwan Zulkifle dan Azraai Hakimi Ahmad Tarmizi.

“Alhamdulillah. Kerjasama dan persefahaman yang baik diantara ahli pasukan yang bertanggungjawab sebagai pit crew, player dan coordinator membuahkan rezeki kepada USIM kali ini. Kegembiraan berganda juga bagi pasukan ini apabila dalam kategori Pembentangan Poster, Saudari Hazirah Hassan berjaya merangkul Pingat Gangsa” ulas Amali Zuklfadhli selaku Ketua Pasukan.

Tambahnya lagi “Terima kasih juga diucapkan kepada pensyarah pembimbing, Prof. Ir. Dr Ahmad Faizal Mohd Zain, Pensyarah Kanan Program Kejuruteraan Elektronik FST, Fakulti dan Pengurusan Universiti kerana memberi sokongan yang tinggi kepada pasukan ini. Bagi penyertaan akan datang, persediaan yang lebih rapi akan dibuat dengan harapan kami,  beberapa keperluan fizikal dan teknikal tambahan dapat ditambahbaik.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kemenangan telah disampaikan oleh YBhg. Naib Canselor Unimap, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm