NILAI – Seramai lebih 2,000 pelajar baharu USIM mengangkat ikrar sebagai simbolik komitmen mereka dalam menjalani kehidupan kampus dengan penuh integriti dan tanggungjawab pada 4 Oktober 2024.

Majlis Lafaz Ikrar yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor ini disaksikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang turut menyampaikan amanat penting kepada para pelajar baharu.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im dalam ucapannya turut menyatakan bahawa pelajar baharu yang menjejakkan kaki ke USIM khususnya membawa pelbagai latar belakang, sifat, fahaman, harapan dan pengalaman. Kepelbagaian ini merupakan satu aset yang penting, bukan sahaja dapat menyatupadukan siswa, memupuk perasaan saling memahami dan sikap toleransi antara satu sama lain, malah menjadi sumber kekuatan bagi memperkaya diri melalui peluang pembelajaran berterusan.

“Sebagai mahasiswa baharu, saya menyeru agar saudara-saudari tidak meletakkan tujuan menyambung pengajian sekadar untuk memperoleh segulung ijazah, tetapi adalah untuk pembangunan diri secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga, ahli masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berbakti”, ujarnya lagi.

Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr Sharifuddin Md Shaarani Naib Canselor dalam ucapannya berkata, USIM turut melonjakkan pembangunan holistik mahasiswa ke arah pembinaan modal insani negara. Metodologi Implementasi ini diluncurkan melalui pemerkasaan ekosistem halal di kalangan mahasiswa USIM. Tujahan agenda gerakan Malaysia MADANI dipacu melalui pemusatan ilmu akademia dan keperluan industri secara komprehensif.

“Antara inisiatif yang bakal digerakkan untuk pembangunan kerjaya mahasiswa ialah latihan berkaitan kesedaran halal, kompetensi skim pensijilan halal, halal eksekutif, pengurusan kewangan halal, asas blockchain dan AI halal serta pembangunan modul keusahawanan halal. Diharapkan dengan inisiatif ini berupaya melonjakkan ketrampilan mahasiswa bagi menyokong usaha kerajaan serta menjadi satu tanda aras ekosistem halal yang dipupuk di persada menara gading”, ujar Profesor Dato’ Ts. Dr Sharifuddin.

Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu merupakan program tahunan yang menekankan peranan pelajar USIM sebagai pewaris legasi kepimpinan ummah dan seruan agar tidak hanya mengejar segulung ijazah tetapi membentuk diri sebagai insan berilmu dan berakhlak mulia.

Melalui program-program seperti pembelajaran berasaskan projek, khidmat masyarakat, dan kerjasama dengan pelbagai institusi terkemuka, sama ada di dalam mahupun di luar negara, USIM berusaha secara berterusan untuk memastikan pelajar memperoleh pengalaman yang holistik. Pengalaman ini tidak hanya tertumpu kepada aspek akademik semata-mata, tetapi turut merangkumi penglibatan sosial dan kemahiran insaniah yang amat diperlukan dalam dunia yang semakin mencabar.

USIM juga komited untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan luas dalam disiplin pilihan mereka, tetapi juga mempunyai keupayaan untuk mengintegrasikan Ilmu Naqli dan Aqli, menjadikan mereka lebih seimbang dari segi intelektual dan spiritual.

Dengan penyertaan dalam pelbagai aktiviti kokurikulum serta latihan industri yang disusun rapi, pelajar USIM dijangka bukan sahaja akan menguasai kemahiran teknikal, tetapi turut mampu untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Melalui pendekatan ini, USIM yakin dapat membentuk graduan yang bersedia untuk menyahut cabaran global dan menjadi pemimpin masa hadapan yang berkualiti dan berintegriti.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Jawatakuasa Pengurusan Universiti (JKPU), Ketua Jabatan dan pegawai universiti.

 

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani