Menjadi harapan Malaysia melahirkan bakal cendekiawan Islam pada masa hadapan dan ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap pelajar PERMATA Insan yang telah terpilih mengikuti program integrasi ilmu Naqli dan Aqli dari seawal umur 8 tahun.

Terpilih dari seluruh pelusuk negara, ternyata anak-anak genius Muslim ber-IQ tinggi ini merupakan permata berharga yang harus digilap dan dijana selari dengan tagline Pusat PERMATA Insan sendiri, yakni – “Menjana Cendekiawan Islam”.

Pusat PERMATA Insan yang mula bertapak sebagai perintis dalam penjanaan cendekiawan Islam sejak 2010, kini telah memiliki pelajar genius mereka seramai 207 dengan ambilan terbaru pada tahun 2013 ini sebanyak 80 orang yang telah berjaya mendaftar dan menyertai Kem PERMATA Insan 23 November – 6 Disember 2013 yang lalu.

Walaupun pelajar PERMATA Insan masih baru dan masih merintis perjalanan yang panjang, namun benih-benih kesarjanaan mereka mula tertampak dari rentetan kejayaan yang telah mereka cipta. Ternyata usia tidak menjadi penghalang bagi mereka menempah nama di peringkat antarabangsa mahupun nasional.

Terbaru, pada Oktober lepas, mereka telah  mengharumkan nama Malaysia di The 9th World Creativity Festival : Mind Frontier (WCF 2013) anjuran Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST) dan The Korean Society for the Gifted (KSG). Kejayaan mereka diraih menerusi penulisan tesis bertajuk Ensuring The Children’s Happiness : The EduFun Plan yang telah memenangi tempat ketiga hasil penulisan Mohd Farhan Bryan Korn bin Faizul dan Sara Sophea binti Abdul Nawfar.

Manakala salah seorang pelajar PERMATA Insan, Fatin Nabilah binti Mohamed Sallehuddin juga telah berjaya mencipta nama tersendiri dalam arena Mental Arithmetic sebagai  pelajar ketiga terbaik Malaysia dalam pertandingan Mental Arithmetic peringkat kebangsaan. Beliau antara pelajar yang akan mewakili Malaysia dalam kejuaraan peringkat Antarabangsa di Bangkok, Thailand, pada tahun hadapan. Suatu usaha yang amat dibanggakan, beliau merupakan satu-satunya kanak-kanak Muslim yang mendapat pencapaian sedemikian.

Dalam arena pengucapan awam, PERMATA Insan turut memiliki jaguhnya yang tersendiri. September yang lalu, salah seorang pelajar PERMATA Insan, Ahmad Faiz bin Yazid, yang juga merupakan Presiden Pelajar PERMATA Insan telah dinobatkan sebagai juara Pidato Diraja Peringkat Kebangsaan pada 2013 bagi kategori sekolah rendah. Anugerah yang disampaikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ternyata mengharumkan lagi nama PERMATA Insan dipersada negara.

Di pentas teater pula, Nur Ameera Fitrah binti Yusoff juga telah mencipta sejarah PERMATA Insan yang tersendiri apabila beliau telah berjaya dianugerahkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Semarak Teater Sekolah Rendah & Menengah Peringkat Kebangsaan 2013. Mewakili produksi negeri Pahang, Nur Ameera Fitrah telah membuktikan bahawa PERMATA Insan mampu pergi lebih jauh dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Selain kejayaan demi kejayaan yang ditempa, mereka juga terus aktif menerima jemputan dalam mempersembahkan kemahiran dan kepintaran mereka di hadapan tokoh-tokoh serta pemimpin-pemimpin dunia seperti yang telah mereka tonjolkan sempena lawatan khas Isteri Presiden Afrika Selatan, Nompumelelo Ntuli-Zuma ke Malaysia pada Ogos yang lalu. Persembahan Mental Arithmetic mereka sekali lagi telah menaikkan nama Malaysia di mata dunia.

Antara rekod lain yang juga membanggakan adalah kejayaan mereka menjadi antara penulis termuda yang pernah wujud di Malaysia. Seawal usia 8 tahun, ada dalam kalangan mereka yang telah berjaya menulis buku sendiri dan diterbitkan dalam ‘Siri Menjana Cendekiawan Islam’. Sehingga kini melalui inisiatif Pusat PERMATA Insan dan Penerbit USIM, sebanyak 3 siri karya pelajar dengan jumlah sebanyak 52 buah buku cerita tulisan mereka berjaya diterbitkan dan kini berada di pasaran.

Jelasnya, PERMATA Insan kini telah melangkah dengan begitu cemerlang. Segala  pencapaian membuktikan bahawa umat Islam mampu terkehadapan dan semestinya zaman kegemilangan Islam mampu dikembalikan dengan lahirnya bakal-bakal Cendekiawan Islam yang telah dibentuk di PERMATA Insan. Generasi bersifat unggul ternyata satu realiti!

Disediakan oleh:

Disediakan oleh:

Pusat PERMATA Insan

Dikemaskini oleh :

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)