GEMENCHEH, 16 Feb 2014 –Dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan masyarakat setempat, seramai 26 pelajar tahun 4, posting kesihatan masyarakat, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  telah menganjurkan program Karnival Kesihatan Islam di Sekolah Kebangsaan Kampung Gedok, Gemencheh, Negeri Sembilan pada 16 Februari yang lepas. Karnival ini mendapat sambutan baik dari penduduk setempat dan seramai lebih 60 orang yang telah menjalani saringan kesihatan.

Karnival anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gedok dan Klinik Kesihatan Daerah Tampin ini merupakan program intervensi kesihatan lanjutan hasil kajian komuniti yang telah diadakan selama 2 minggu tentang penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease) seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Menurut pengarah program Ahmad Ayatullah bin Che Razali, karnival ini adalah inisiatif bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada penduduk kampung bagi mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit ini serta menjelaskan mengenai isu-isu perubatan yang berlandaskan Islam seperti fikah perubatan Islam dan solat ketika sakit. “Hasil kajian yang dibentangkan, kami lakukan intervensi kesihatan kepada penduduk kampung Gedok agar dapat membendung penyakit tidak berjangkit ini daripada menjadi lebih kronik”, tambah beliau.

Selain mendapat pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma dan khidmat nasihat oleh pakar perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, pelbagai aktiviti yang dijalankan iaitu acara senamrobik, sukaneka, kempen derma darah, pameran kesihatan oleh Klinik Kesihatan Daerah, dan pameran oleh agensi Jabatan Pertahanan awam. Slot ceramah agama bertajuk ‘Fikah Perubatan Islam’ turut dibawakan kepada para pengunjung oleh Ustaz Azhar bin Yahya, Ketua Jabatan Muamalat dan Kewangan, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM).

Dr Mohd Dzulkhairi bin Mohd Rani selaku penasihat program berkata, kampung ini dipilih kerana atas hasil kajian yang dijalankan, penduduk kampung Gedok mencatatkan jumlah yang tertinggi menghidap penyakit kencing manis diikuti darah tinggi. “Dengan penganjuran program seperti ini , ia merupakan satu platform untuk melahirkan bakal doktor yang lebih berwibawa serta mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap kesihatan masyarakat”. Penglibatan pelajar dalam memberi sumbangan khidmat masyarakat sedikit sebanyak dapat membantu mereka mengawal penyakit ini daripada bertambah teruk”, beliau berkata semasa ditemuramah pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kesihatan Islam.

Penganjuran Karnival Kesihatan Islam Kampung Geduk 2014 selari dengan visi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan bagi meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek perubatan dan sains kesihatan dan memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara. Semoga hasil usaha daripada karnival ini akan menjadi batu loncatan kepada semua pelajar Perubatan dan Sains Kesihatan USIM untuk bersama-sama berusaha meningkatkan kualiti penganjuran agenda-agenda yang bermanfaat untuk kelestarian siswa siswi di Universiti Sains Islam Malaysia.

Majlis Perasmian Penutup yang dihadiri oleh Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Gemencheh, Tuan Mohd Isam bin Haji Mohd Isa turut melahirkan rasa gembira dan berharap agar bakal graduan doktor dari Universiti Sains Islam Malaysia akan menyumbang bakti kepada masyarakat bagi melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera. “Usaha murni yang dilaksanakan ini juga sejajar dengan program yang dilakukan oleh kerajaan tentang NCDP1Malaysia (non-communicable disease program 1 Malaysia) iaitu program bagi mengawal penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat Malaysia dan program seperti ini wajar dilakukan lagi pada masa yang akan datang”, tambah beliau dalam ucapan semasa merasmikan penutup Karnival Kesihatan Islam.

Disediakan oleh:

Zaid Ahmad Sharifuddin

Bahagian Maklumat & Penerbitan

Majlis Perwakilan Pelajar

Disemak oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm