PUTRAJAYA, 25 JUN 2016 – Dalam usaha menyemarakkan budaya membaca ayat Al-Quran walau dimana sahaja berada menarik perhatian orang awam apabila seramai 30 orang Ahli Sekretariat StraCommClique, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan program USIM Street Taddarus #Ngaji Jap di perkarangan Perbadanan Putrajaya, disini hari ini.
Antara objektif utama program adalah untuk menyampaikan dakwah dan pesanan kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih kreatif dan mudah untuk mendekati komuniti disamping memberi galakan kepada masyarakat umum untuk melakukan ibadah Tadarus dimana-mana sahaja, merubah persepsi masyarakat berkaitan aktiviti bertadarus hanya boleh dilakukan di Masjid, Surau mahupun di rumah sahaja.
Selain itu, memberi pengalaman dan pendedahan khususnya kepada peserta untuk menyampaikan mesej kebaikan secara umum dengan membina keyakinan diri berhadapan dengan masyarakat disamping membina softskill, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan baik selain memberi pendedahan dan pengalaman dalam menyebarkan dakwah yang merupakan salah satu usaha falsafah universiti bagi melahirkan generasi cemerlang dan masyarakat berilmu.
Pengarah program Mohamad Aizat Mohamad Sani berkata, walaupun program ini hanya bermodalkan sesi taddarus Al-Quran sahaja, namun ia mampu memberi impak yang besar dalam dakwah kepada masyarakat.
“Kita mahu melahirkan masyarakat berilmu dan berakhlak di samping berupaya memahami konsep membudayakan bacaan Al-Quran di mana sahaja kita berada, sebab itulah tercetusnya idea bagi menjalankan program #Ngaji Jap ini diadakan secara terbuka di perkarangan Perbadanan Putrajaya dengan tujuan memperlihatkan kepada orang awam suasana membaca Al-Quran secara terbuka”.
“Selain itu, ia dapat merapatkan ukhwah sesama ahli bagi meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama”, tambah Aizat.
Salah seorang peserta program, Muhd Alif Jamali ketika ditemui berkata bahawa program ini boleh memperkenalkan USIM kepada orang luar melalui pendekatan ‘open tadarus’ ini.
“Masyarakat boleh mengenali USIM sebagai pusat integrasi ilmu naqli & aqli secara langsung melalui penganjuran program seperti ini,” katanya.
Selepas solat asar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ( Masjid Besi), peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mencari lokasi untuk bertadarus secara jamaie. Selain taddarus, pengisian rohani (tazkirah) juga diadakan yang disampaikan oleh Andi Zulfauzan pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang.
Ahli turut mengagihkan kurma sebagai makanan sunnah dan air mineral kepada orang awam sebelum acara berbuka beramai-ramai bersama warga Putrajaya bermula.
Program #Ngaji Jap ini berakhir dengan solat tarawikh berjemaah di Masjid Tuanku Sultan Zainal Abidin pada jam 10.00 malam.
Disediakan oleh:
Nur Adnin Abd Razak & Norhasnah Abd Wahid
Sekretariat StraCommClique, Unit Media & Berita
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204