JAKARTA – Pendedahan terhadap diplomasi, pengurusan perwakilan negara dan jaringan pendidikan antarabangsa menjadi antara nilai utama yang diperoleh mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi program Global Islamic Students Outreach (GISO) Jakarta 2026 di Indonesia.
Program anjuran Kelab Urusetia Latihan dan Pembangunan Mahasiswa (ULPM) itu membawa delegasi USIM mengadakan kunjungan rasmi ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 20 Ogos 2026 sebagai sebahagian daripada siri program GISO 2026 yang berlangsung di sekitar Jakarta dan Bandung.
Pertemuan bersama Education Malaysia Indonesia memberi peluang kepada mahasiswa memahami dengan lebih dekat peranan perwakilan Malaysia di luar negara, khususnya dalam menyokong agenda pendidikan tinggi dan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.
Kunjungan itu turut membuka ruang perkongsian mengenai pembangunan jaringan antarabangsa, kerjasama pendidikan serta peranan mahasiswa dalam membina hubungan dengan komuniti di negara serantau.
Pengarah Program GISO Jakarta 2026, Aiman Hakimi Sadri berkata, pengalaman tersebut memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai tatakelola perwakilan negara dan peranan diplomasi dalam hubungan antarabangsa.
“Kunjungan ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memberi pendedahan bernilai kepada delegasi mengenai tatakelola perwakilan negara, sekali gus mempersiapkan mahasiswa USIM untuk memainkan peranan sebagai duta kecil universiti di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut wakil Education Malaysia Indonesia, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri, penglibatan mahasiswa dalam program antarabangsa seperti GISO turut membantu memperkukuh jaringan global serta hubungan pendidikan dalam kalangan institusi dan masyarakat serantau.
“Inisiatif seperti ini menunjukkan peranan aktif mahasiswa dalam membina jaringan global dan pada masa sama menyumbang kepada usaha memperkukuh kecemerlangan pendidikan serantau,” katanya.
Selain aspek diplomasi, program berkenaan turut memberi ruang kepada peserta membina keyakinan, kemahiran komunikasi silang budaya dan kefahaman terhadap hubungan masyarakat serumpun antara Malaysia dan Indonesia.
Pendedahan antarabangsa menerusi GISO Jakarta 2026 diharap dapat membentuk mahasiswa USIM yang lebih bersedia berinteraksi dalam persekitaran global serta memanfaatkan jaringan yang dibina untuk pembangunan akademik, kepimpinan dan khidmat kepada masyarakat.
Oleh: Muhamad Muzafar Mohamad Zain

