NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan Pemeriksaan Tadbir Tahunan yang disempurnakan oleh Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24, Mejar Jeneral Datuk Marzuki bin Hj Mokhtar di Markas PALAPES USIM pada 12 Jun 2025.

Acara dimulakan dengan Panglima Latihan Tentera Darat diberi penghormatan memeriksa Kawalan Kuarter di Dataran Canselori USIM diiringi oleh Timbalan Komandan, Mejar Rozaimi Kamarudin dan Ketua Jurulatih PALAPES, Mejar Noor Efendy Hj Samih.

Panglima Latihan Tentera Darat turut mengadakan Kunjungan Hormat ke Pejabat Naib Canselor merangkap Komandan PALAPES USIM, Kolonel (K) Profesor Dato’ Ts Dr Sharifudin Md Shaarani.

Turut hadir sama Timbalan Komandan, Ketua Jurulatih serta delegasi dari Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD). Kunjungan ini membincangkan pelbagai perkara antaranya melibatkan pembangunan masa depan PALAPES USIM serta pengiktirafan persijilan kemahiran anggota melalui kerjasama strategik antara USIM dan MK PLDTD.

Pemeriksaan Tadbir diteruskan dengan sesi taklimat melibatkan aspek Tadbir, Latih dan Logistik yang disampaikan oleh Ketua Jurulatih di Bilik Mesyuarat Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), diikuti dengan sesi penandatanganan Lejar TKR pasukan. Panglima Latihan Tentera Darat turut melawat Stor Senjata pasukan serta melaksanakan pemeriksaan ‘Kit Layout’ yang melibatkan anggota bujang dan berkahwin di Perkarangan Garaj PPKI. Pemeriksaan menyeluruh ini dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap standard logistik, penjagaan aset dan tahap kesiapsiagaan anggota berada dalam keadaan terbaik.

Dalam ucapannya kepada warga PALAPES USIM, Panglima Latihan Tentera Darat menekankan bahawa setiap warga tentera di universiti ini membawa imej Tentera Darat dan berperanan sebagai Duta Tentera Darat. Oleh itu, sahsiah yang unggul, jiwa tentera yang utuh serta tahap disiplin yang tinggi merupakan tunjang utama dalam membentuk jurulatih agar mampu menjadi teladan kepada pegawai kadet PALAPES USIM.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan sesi menandatangani buku lawatan rasmi sebagai simbolik penutup lawatan. Pemeriksaan Tadbir Tahunan ini selari dengan inspirasi Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke – 24 melalui konsep Sahsiah Keperwiraan (Warrior Ethos) serta Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 iaitu Sumber Manusia: Cakna Etos Kepahlawanan.

Pemeriksaan Tadbir Tahunan PALAPES USIM diperkasa dengan penekanan sahsiah disiplin dan Integriti