NILAI, 12 April – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mencipta nama dalam arena perdebatan Universiti dan  mengekalkan reputasi memilik pendebat yang mampu memberi saingan hebat apabila muncul johan Kejohanan Debat Ekonomi Piala Ibnu Khaldun pada semalam.

Pendebat USIM yang dibarisi Ikmal Jamaluddin, 19; Siti Suhaila Sharudin, 21; Ahmad Farouq Ahmad Fuad, 19 dan Wan Nur Afifah Wan Nafi, 19 bertemu dengan lawan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dibarisi Raja Mamat Raja Ibrahim, 20; Nor Fatin Syahirah Zulkapli, 20; Muhd Ammar Rafiq Ruslan, 20 dan Hapsah Mohd Saleh, 19.

Pertandingan akhir yang diadakan Dewan Kuliah Pusat 3 USIM membahaskan usul ” KWSP: Kera Di Hutan Disusukan”  dengan UniSZA bertindak sebagai Kerajaan dan USIM sebagai Pembangkang.

Selaku Johan, para pendebat USIM membawa pulang Piala Pusingan Ibnu Khaldun, wang tunai RM 2000, piala iringan dan sijil penghargaan manakala UniSZA selaku Naib Johan  menerima wang tunai RM 1000, piala dan sijil penghargaan. Muhd Ammar pula dinobatkan Pendebat Terbaik Akhir dan membawa pulang wang tunai RM 500 serta pasukan debat USIM juga diumumkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan liga.

Debat Ekonomi Piala Ibnu Khaldun yang bermula pada 9 hingga 12 April disertai 32 orang pendebat dari pelbagai Universiti Awam antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

Kejohanan sulung yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM dengan kerjasama Kelab Debat USIM dan Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM) merupakan suatu kejohanan debat baharu yang bertemakan ekonomi dengan matlamat untuk meningkatkan kefahaman terhadap kepelbagaian polisi dan cabaran baharu perubahan landskap ekonomi negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang Wawasan 2020.

Diadakan dalam format Bahas Ala Parlimen, ia menjadi platform untuk meningkatkan keberanian mahasiswa bersuara melalui lontaran pandangan dan idea mengenai polisi ekonomi semasa negara.

Pertandingan akhir dan penyampaian hadiah disempurnakan disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM mewakili Naib Canselor dan Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Dekan FEM.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204