NILAI, 23 Februari 2021 – Mendepani cabaran pasca Covid19 ini, Bahagian Penerbitan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil langkah proaktif menganjurkan Pesta Buku Online yang bersiaran secara langsung di Facebook Live USIM Press.
Dengan hashtag ‘ekau boli den anta’ sebanyak 20 peratus diskaun diberikan kepada semua pelanggan juga penghantaran secara percuma diberikan bagi pelanggan yang menyertai siaran langsung selama satu jam melalui dua platform dalam talian iaitu mybookstore.usim.edu.my dan platform Shopee di Penerbit USIM.
Pesta Buku Online ini berlangsung sepanjang lima hari iaitu bermula pada 15 hingga 19 Februari dengan pelbagai promosi buku secara kombo boleh didapati dan juga buku-buku baharu diperkenalkan dalam sesi ini.
Menurut Puan Hariza Mohd Yusof Ketua Bahagian Penerbitan berkata, sambutan agak baik daripada pembeli di luar sana, dan apa yang hendak kita sampaikan ialah keberadaan buku-buku penerbit USIM masih ada walaupun dalam fasa pandemik ini.
Selain itu, Penerbit USIM juga akan terlibat dalam pesta buku dalam talian yang akan diadakan pada Mac ini iaitu Karnival Buku Ilmiah anjuran MAPIM dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Puan Hariza berkata lagi, penglibatan Penerbit USIM dalam karnival ilmiah anjuran MAPIM bukan suatu yang baharu, jadi gandingan yang sedia ada ini diteruskan lagi dalam bentuk pesta buku dalam talian. Di harap gandingan dan kerjasama ini dapat mewujudkan persefahaman dalam meneruskan legasi Penerbit USIM khususnya supaya terus kekal dan aktif dalam suasana yang tidak menentu.
Turut diadakan sepanjang sesi pesta buku online ini adalah segmen Biar Buku Bicara, untuk mengupas buku yang bertajuk Peranan Institusi Zakat Dalam Mendepani Wabak Pandemik Covid-19 di Malaysia bersama penulis buku Prof. Dr. Azman Ab. Rahman. Beberapa isu mengenai cadangan dan peranan pusat zakat dalam situasi wabak Covid-19 ini telah dihuraikan dalam segmen ini.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan