NILAI, 7 April 2021 – Bersempena Majlis Pengiystiharan Konvokesyen Ke-18 pada 6 April 2021 di Universiti Sains Islam Malaysia, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM berkenan menganugerahkan Anugerah Canselor kepada Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar, Fakulti Syariah dan Undang-undang; Anugerah Canselor (Siswazah) kepada Mohd Ilias M Shuhud, Doktor Falsafah Sains dan Teknologi, Fakulti Sains dan Teknologi; dan Pingat Emas Naib Canselor kepada Ahmad Anwaar Muhammad Saifullah, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.


Penerima Anugerah Canselor

Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar, 24 tahun,  Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian merupakan seorang pelajar yang aktif dalam aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan. Iskandar mempunyai azam yang tinggi untuk berbakti kepada masyarakat dan ummah justeru, penglibatannya dalam aktiviti berpersatuan menjadi satu titik permulaan buatnya untuk terus memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau kini melanjutkan pengajian ke Diploma Lanjutan Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (Dijap) berpegang kepada kata-kata untuk sentiasa belajar mencari setiap ilmu yang bermaanfaat sama ada kepimpinan mahupun kemahiran, kerana percaya setiap satunya pasti membawa kepada kejayaan.

“Alhamdulillah, sepanjang bergelar mahasiswa USIM pernah mendapat penghargaan Anugerah Kepimpinan dan Kesukarelawanan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM melalui penganjuran pelbagai program dan aktiviti untuk mahasiswa USIM. Tiga kategori yang dimilikinya adalah Anugerah Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar, Anugerah Pemimpin Sukarelawan (terbuka), Anugerah Tokoh Kesukarelawan,” ujarnya.

 

Penerima Anugerah Canselor (Siswazah)
Mohd Ilias M Shuhud, 40 tahun, Doktor Falsafah Sains dan Teknologi telah mempunyai seorang cahaya mata berkongsi cerita pengajian PhD di USIM merupakan cubaan kedua buatnya sebagai langkah kembali bangkit untuk menyambung pengajian selepas mengalami masalah teknikal semasa pengajian pertama di Jerman. Namun kini, beliau lebih bersyukur kerana akhirnya berjaya mencipta kejayaan tersendiri.

Beliau yang juga merupakan Pensyarah FST menjadikan keluarga sebagai asbab kejayaannya kini. Di tambah pula, kehilangan seorang sahabat yang meninggal dunia akibat kanser yang telah banyak mendorongnya semasa pengajian memberinya kekuatan untuk terus cekal dalam pengajian. Beliau menghargai saat manis mendapat Best Paper Award di International Conference on Big Data and Cloud Computing 2017 (ICOBIC 2017) di Kuching Sarawak sentiasa berpegang kepada prinsip untuk bersabar dan positif dalam sesuatu kesulitan yang dihadapi.

“Menuntut ilmu merupakan salah satu jihad dan setiap jihad itu ada cabarannya. Jika mengalami apa jua masalah dalam tempoh pengajian, cuba selesaikan dengan segera. Jika tidak mampu selesaikannya, rujuklah kepada mereka yang lebih arif agar langkah tepat dapat diambil dan perjalanan pengajian tidak terganggu atau musnah apabila ia semakin membesar dan tidak boleh diperbaiki lagi,” ujarnya.

 

Penerima Pingat Emas Naib Canselor

Ahmad Anwaar Muhammad Saifullah, 26 tahun, Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (M.B.B.S), mendapat pendidikan awal di Brunei Darussalam dan lulusan ‘Ma’ahad Islam Brunei di Negara Brunei Darussalam, berbesar hati menimba ilmu di Malaysia walaupun berjauhan dari ibu bapa tercinta.

Ahmad Anwaar dinobat Pelajar Terbaik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan anugerah Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Kepujian dan Cemerlang (First Class Honours with Distinction). Bermula seawal Anugerah Pengarah Tamhidi sehingga pada Tahun 2020 dianugerah Pelajar Terbaik Peperiksaan Professional Perubatan USIM dan Pelajar Terbaik bagi enam (6/13) subjek kepakaran perubatan latihan klinikal di hospital selain pendedahan perubatan di Negara Brunei Darussalam dan Indonesia.

Berkat didikan para pensyarah di FPSK, secara pasukan atau individu, beliau meraih pelbagai kejuaraan dan kecemerlangan di dalam pelbagai Pertandingan Perubatan Antara Universiti di Malaysia. Beliau sangat aktif di dalam pelbagai NGO, misi sukarelawan perubatan, perkongsian ilmu perubatan & motivasi pelajar, aktiviti kemasyarakatan termasuk di Malaysia, Brunei Darussalam, China, Australia dan Cambodia. Beliau sering mendapat jemputan ceramah diperingkat tempatan dan antarabangsa. Sejak dari peringkat Tamhidi, Ahmad Anwaar sangat aktif membantu rakan-rakan di dalam pengajian di USIM sehingga graduasi. Selain kecemerlangan akademik, beliau yang juga pemegang Tali Pinggang Hitam (Black Belt) TaeKwonDo dengan Pengiktirafan Antarabangsa Korea (Kukkiwon) pernah menjadi juara Pertandingan Catur dan aktif Futsal di USIM.

Ketika ditemubual, beliau turut menjunjung kasih di atas sistem Pendidikan Brunei Darussalam dibawah kepimpinan KDYMM Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam yang membolehkan beliau melanjutkan pengajian perubatan di USIM.

“Saya sentiasa ingat pesanan ayah dan ibu, “Always strive to excel and do the right things right“. Kejayaan saya adalah hasil kecemerlangan ibubapa, guru-guru dan semua warga USIM. Semoga Allah SWT merahmati kita semua. USIM adalah ibarat tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Di dalam kewajipan menuntut ilmu, kita harus rebut dan hargai peluang menuntut ilmu kerana bukan semua orang mampu mendapat peluang tersebut,” ujarnya.

Muat turun buku Konvokesyen Ke-18 USIM. Klik https://konvo.usim.edu.my/buku/


Ahmad Anwaar Muhammad Saifullah bersama Mohd Ilias M Shuhud selepas perarakan keluar dewan di Majlis Pengisytiharan Konvokesyen Ke-18


Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar bersama penerima Anugerah DiRaja selepas perarakan keluar dewan di Majlis Pengisytiharan Konvokesyen Ke-18

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan