MAKASSAR – Sekretariat Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Universitas Muhammadiyah Makassar, Indonesia dalam misi Pengembaraan Global Islamic Student Outreach (GISO): Travelog Nurani di Bumi Makassar. Pengembaraan ini disertai oleh seramai 10 orang pelajar ahli GPS pada 7 Ogos  2024 baru-baru ini.

Salah satu rangkaian pertukaran idea dalam acara MACCA 2024 Batch 05 diketuai oleh Unismuh Makassar adalah kuliah tamu. Acara ini turut dihadiri oleh pegawai pengiring iaitu Encik Mohd Fadzwan Zakaria mewakili dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nidal AI Abusweirh wakil dari Islamic University of Gaza, Dr. Ibrahim Ridwan Ramadan wakil dari Al-Quds Open University Palestine dan Rektor, Dekan dan Ketua Lembaga Unismuh Makassar. Acara ini bukan sahaja memberikan impak yang positif malah turut merapatkan lagi hubungan USIM dengan universiti-universiti yang lain.

Tidak melepaskan peluang keemasan ini, ahli-ahli GPS juga mengadakan lawatan penanda aras bersama Fakultas Kedokteran dan Ilmu Kesehatan Unismuh bersama Kelab Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) bagi pertukaran perkongsian berkaitan pengurusan organisasi di sana. Hal ini sedikit sebanyak memberikan pengalaman dan pengajaran tentang struktur pendidikan di negara seberang.

Amirul Hairie selaku pengarah program Pengembaraan Global Islamic Student Outreach (GISO): Travelog Nurani di Bumi Makassar menyatakan perasaan bangga kepada ahli-ahli GPS yang lain atas komitmen yang diberikan serta berharap agar program yang dilaksanakan dapat memberi impak yang positif kepada diri dan masyarakat.

“Kerjasama antara Universitas Muhammadiyah Makassar dan USIM, bersama dengan penyertaan tetamu yang dihormati dari Gaza dan Palestin, mencerminkan komitmen bersama kita terhadap pendidikan, pembangunan, dan pertukaran idea”.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang istimewa kepada Universitas Muhammadiyah Makassar atas layanan mesra yang diberikan. Sambutan hangat dan keterbukaan anda dalam berkongsi ilmu telah memberi inspirasi yang mendalam. Pengalaman ini telah mengeratkan lagi hubungan kita dan membuka pintu untuk kerjasama di masa hadapan antara institusi kita”, ujarnya lagi.

Sumber: Amirul Hairie Bin Mohammad