NILAI – “Selari dengan falsafah pendidikan USIM mengintegrasikan Quran Sunnah dengan ilmu-ilmu moden untuk menjalankan penyelidikan, maka tema Konvokesyen pada tahun ini adalah berdasarkan niche penyelidikan USIM dalam Sains Islam yang bertitik tolak daripada Quran dan Sunnah dan diharmonikan dengan teknologi terkini untuk menggali ilmu baharu tentang makanan sunnah susu kambing dan buah kurma,” ujar YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail dalam ucapannya.

Majlis Konvokesyen ke 11 USIM telah berlangsung dengan penuh istiadat dengan perkenan DYMM Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tuanku Canselor USIM, turut hadir YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM melakar saat manis di mana dua graduan cemerlang menerima Anugerah Pelajaran DiRaja. Majlis penuh istiadat memberi penganugerahan kepada Mohd Nizwan bin Musling dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan  Muhammad Zaim bin Razak dari Fakulti Sains dan Teknologi

Mohd Nizwan, 25 tahun merupakan anak kelahiran Kg Parit Lapis Sempadan, Batu Pahat Johor memperoleh PNGK 3.89 dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi.  Sejak zaman persekolahan beliau merupakan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2005 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Bandar Penawar Kota Tinggi Johor, diikuti Pelajar Terbaik peringkat Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).  Kini beliau meneruskan tradisi kecemerlangannya dan mempamerkan pelbagai kecemerlangan dalam bidang akademik dengan kejayaan meraih Anugerah Dekan sebanyak 8 kali berturut-turut sepanjang 4 tahun pengajiannya di USIM.

Mohd Nizwan Nizwan bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam bidang ko-kurikulum. Antara pencapaian tertinggi dalam bidang ko-kurikulum ialah mewakili USIM dalam Kejohanan Debat Bahasa Arab IPT Asean ke-4 2010, Debat Bahasa Arab sempena IHTIFAL IPT Asean 2011, Debat Bahasa Arab sempena Pesta Intelek & Hujah 2010 (yang telah mencatatkan Rekod Malaysia Debat Pelbagai Bahasa 111 jam Tanpa Henti) di PWTC  dan ahli Kelab Debat USIM pada tahun 2011-2012. Menurutnya, kejayaan yang dicapai adalah berkat doa yang berterusan dan semangat yang dititipkan oleh ibu bapanya iaitu Encik Musling bin Kasiran dan Puan Punyam bte Sarmon.

Pencapaian cemerlang beliau tidak terhenti setakat itu, penulisannya juga pernah diterbitkan di akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian dan majalah antarabangsa berbahasa Arab iaitu Majalah ASWAQ yang berpangkalan di Dubai. Malah beliau juga telah diberi peluang menjalani latihan industri di Media Hub Connection Sdn Bhd, iaitu syarikat cawangan kepada penerbitan majalah ASWAQ.  Kini, beliau sedang menyambung pengajian Master Sarjana Bahasa Arab Komunikasi di USIM.

Turut menerima anugerah adalah Muhammad Zaim, 23 tahun yang membesar di Johor Bahru dengan pencapaian PNGK 3.85 dan berkelulusan Matematik Kewangan, beliau merupakan anak kedua daripada 3 orang adik beradik. Ketekunan beliau dalam bidang akademik bukan hanya di peringkat Universiti sahaja, malah beliau ingin berkongsi ilmu yang beliau miliki di luar Universiti. Oleh itu, antara perkongsian akademik di pentas antarabangsa yang boleh dibanggakan ialah dipilih oleh pihak penganjur pada ketika itu untuk mewakili Malaysia sebagai Delegasi ASEAN & Malaysia ke 5th Science Conclave, India Institute Of Information Technology, Allahabad, India, pada 8 – 14 Disember 2012 lalu. Ini merupakan pengalaman yang amat berharga kepada beliau kerana berpeluang untuk berdialog dan bertemu dengan saintis terkemuka dunia dan juga para Pemenang Anugerah Nobel.

Apa yang menariknya, Muhammad Zaim juga berbakat dalam pengacaraan majlis. Antara program Universiti yang menyerlahkan bakat beliau dalam bidang pengacaraan adalah semasa mengacarakan Program Teater Muzikal Mencari Nur Muhammad anjuran Unit Kebudayaan USIM, Pengacara Majlis Penutup dan Pertandingan Akhir Debat Piala Naib Canselor USIM tahun 2009 dan mengacarakan Majlis Malam Aspirasi Seni Pelajar Tamhidi 2008/2009.

Pencapaian demi pencapaian dan kejayaan yang dilakar oleh graduan cemerlang ini membuktikan kehebatan USIM yang mempunyai produk yang berkualiti dan serba boleh serta memiliki sahsiah tinggi seiring dengan Misi dan Visi USIM. Semoga kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada bakal graduan USIM akan datang. Penerima Anugerah ini menerima Segulung Watikah, Sebuah Medal yang dinamakan ‘Pingat Jaya Cemerlang’ dan Wang Tunai sebanyak RM 5,000.00.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm

Dikemaskini oleh:

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar StraComm