BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka.”

Ayat ini menjawab sebahagian besar persoalan tentang hubungan perhubungan berkat dengan kesejahteraan ummah.

Peranan wanita, seperti diungkapkan oleh Sayyid Qutub dalam Tafsir Fi Zilal Al-Quran, disebut sebagai ketaatan asas kesolehan wanita yang membawa maksud hubungan yang paling asas berlaku dalam pembentukan keluarga dan wanitalah tonggak dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Menegaskan mengenai perkara tersebut pada Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2016 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas ialah Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Zulkiple bin Abd. Ghani selaku penceramah undangan.

Menerusi Ceramah Perdana yang bertajuk ‘Hubungan Perhubungan Berkat Dengan Kesejahteraan Ummah’, beliau menjelaskan bahawa hari ini kita sedar, kita tidak pernah berhenti berhubung, sebagai seorang Islam kita berhubung dengan Allah Subhanahu Wata’ala setiap hari, dan kita berhubung dengan ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling kita sepanjang masa.

Malahan, dengan adanya teknologi komunikasi terkini jelas beliau, kita dapat berhubung dengan pelbagai orang di seluruh dunia yang sebahagian besarnya tidak kita kenali.

Hari ini dunia sudah jauh berubah, jika dilihat kepada perhubungan dalam media sosial sahaja, sehingga April 2016, dianggarkan 1.59 bilion pengguna aktif berhubung melalui aplikasi Facebook setiap bulan.

Pengguna aplikasi WhatsApp pula sudah mencecah 1 bilion pengguna aktif, pengguna YouTube juga mencecah 1.3 bilion, manakala pengguna aplikasi Instagram yang berkongsi foto-foto sudah mencecah 400 juta orang.

“Begitu juga dengan komunikasi perhubungan melalui blog-blog yang terus meningkat pengguna aktif saban hari, contohnya aplikasi Tumblr yang menarik 555 juta pengguna di seluruh dunia,” ujarnya lagi.

Tidak cukup dengan perhubungan yang berlangsung melalui teknologi komunikasi maklumat, yang digambarkan dengan pelbagai istilah akademik seperti ledakan informasi (information explotion), lebuh raya maklumat (information superhighway), kebanjiran maklumat (information overload), aspek perhubungan pengangkutan juga menjadi semakin maju.

Dari menggunakan haiwan seperti kuda, unta, kerbau, lembu untuk membawa beban dari satu tempat ke satu tempat, teknologi perhubungan pengangkutan juga menjadi semakin canggih, sehingga membolehkan manusia meneroka tempat-tempat yang jauh sehingga ke planet asing seperti di bulan dan marikh (Mars).

Kecanggihan sistem pengangkutan kini turut mempengaruhi aspek psikologi dan sosiologi kehidupan kita sebagai manusia, apatah lagi bila ia turut menghasilkan kesan negatif kepada kehidupan seperti isu ‘greenhouse emission’.

Gabungan kedua-dua bentuk perhubungan ini memang memberi kemudahan kepada kita untuk berkomunikasi dan berhubung. Namun persoalan utama yang timbul ialah apakah hubungan perhubungan ini ‘berkat’ dan kita berada dalam sebuah kehidupan yang sejahtera?

Seterusnya, bagaimana pula kita hendak memahami apa yang difirman oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-A’raaf ayat 96 maksudnya : “Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.”

Terang beliau lagi, maksud ‘berkat’ tidak mudah difahami tanpa adanya iman kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

‘Berkat’ bermaksud tumbuh dan bertambah; dikaitkan dengan usaha gigih dan doa orang-orang tua; dan jika dikaitkan dengan harta, ‘berkat’ membawa maksud bertambah dan memberi kebahagiaan, dan ‘berkat’ juga merujuk kepada kebajikan, dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita.

Apa yang perlu difahami ujar beliau lagi ialah, ‘berkat’ itu memang ada, dan diyakini datang dari pada Allah Subhanahu Wata’ala dan perhubungan yang berkat, adalah sesuatu yang kita dambakan bersama.

Dalam hal ini, beliau ingin menarik perhatian semua tentang apa yang ditegaskan oleh Sayyid Qutub, pengorbanan wanita dalam kehidupan berkeluarga tiada bandingannya.

Pengorbanan seorang isteri, memelihara kehormatan diri, mentaati dan menjaga keperluan suami, membesarkan anak-anak, dan memelihara aurat adalah bertujuan mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala.

Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan pembacaan, pengamatan (observasi) dan pengalaman, kita hidup dalam zaman yang terlalu banyak perkara berubah dalam masa yang singkat.

Pada tahun 1970, Alvin Toffler, seorang pengkaji tentang futuris, mengutarakan pandangan dalam bukunya Future Shock, beliau mengatakan, “Terlalu banyak perubahan berlaku dalam waktu yang singkat,” dan kesannya, kita perlu adaptasi dan ‘adopt’ kepada perubahan untuk kekal relevan dan mempunyai identiti diri.

Jika tidak ujarnya, kita akan terdedah kepada tekanan hidup, hilang rasa kebahagiaan, rasa tidak selamat, bimbang dan kecewa, dan sentiasa dalam suasana ketidaktentuan.

Dalam istilah yang lain, kita berhadapan dengan situasi ‘sink or swim’, sama ada kita perlu berenang untuk ‘survive’ atau kita akan tenggelam. Kita tidak banyak pilihan.

Persoalannya, ada antara kita dalam majlis ini, sebagai anak perempuan, isteri atau ibu, dalam konteks sebagai individu, dapat mengatasi sebahagian cabaran dari perubahan yang datang secara mendadak.

Sebahagian cabaran yang lain terangnya lagi, kita terpaksa menyerap dalam keadaan kita sedar ataupun tanpa sedar, contohnya saban hari kita terdedah kepada pelbagai mesej dalam WhatsApp.

“Ada yang menerima ribuan mesej dari pelbagai ‘group’, yang mengandungi mesej bersifat informasi, gosip, gelar-menggelar dan sebagainya. Apabila cabaran yang kita hadapi mencapai tahap ‘overloaded’, berbanding dengan kemampuan kita, maka akan terjadilah letusan (exploded). Letusan ini boleh bersifat emosi, boleh bersifat kepercayaan atau membentuk satu sikap dalam diri kita. Bayangkan, dalam konteks kehidupan bernegara, atau lebih spesifik sebagai satu ummah, kita tidak mampu menghadapi perubahan yang datang mendadak ini. Apa implikasinya?” persoalan Profesor Dr. Zulkiple.

Profesor Susan Silby dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang mengkaji tentang teknologi dan perubahan sosial, membandingkan bagaimana masyarakat terdahulu berhadapan dengan perubahan besar atau luar jangka.

Beratus tahun dahulu, jika mereka bimbang akan berlaku kemarau panjang atau bah besar yang akan memusnahkan tanam-tanaman mereka, apa yang mereka lakukan dalam keadaan yang sangat tidak menentu itu, kata beliau, “People looked to God to help them through difficult time.”

Bagaimanapun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya, Profesor Susan Silby menegaskan, situasi pada masa kini “… but for many people today, that doesn’t exist as an answer any more,” jelas Profesor Dr. Zulkiple lagi.

Dulu manusia ada kepercayaan untuk mengadu masalah kepada Tuhan, tapi kini, dengan perkembangan teknologi perhubungan yang ada, kepercayaan kepada Tuhan makin menipis, dan inilah masalah kita hari ini, tegasnya.

16 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 2000, Profesor Dr. Zulkiple pernah menyatakan satu pandangan bahawa cabaran baharu yang akan dihadapi oleh umat Islam dalam Abad Ke-21 ini ialah pembentukan sebuah masyarakat ‘super secular’.

Ia muncul akibat ketidakupayaan umat Islam untuk menjadi pencipta dan terus kekal sebagai pengguna (users) kepada teknologi komunikasi.

Beliau menekankan bahawa perkembangan teknologi yang pantas telah menstrukturkan sebuah corak kehidupan baharu. Kita dapat mencapai informasi dalam masa yang singkat dan terdedah kepada perkara makruf dan juga munkar dengan jumlah yang besar.

‘Super secular society’ bermakna tahap sekularisme dalam kehidupan bermasyarakat kita meningkat ke satu tahap lebih tinggi.

Spirit penguasaan globalisasi yang dikandung dan dibawa oleh pencipta teknologi menyebabkan sebahagian besar ummah menjadi keliru tentang tujuan kehidupan sebenar.

Banyak isu-isu besar melanda umat Islam sejagat, yang berhadapan dengan gelombang perubahan. Contohnya, kita melihat ada pihak cuba mendefinisi semula makna sebuah ‘family’ atau keluarga.

“Lelaki berkahwin dengan lelaki atau perempuan berkahwin dengan perempuan, malah ada negeri yang turut menghalalkan perkahwinan sejenis melalui proses perundangan. Begitu juga dengan isu LGBT. Pejuang-pejuang feminisme dan juga liberalisme menuntut hak atas nama hak asasi manusia,” tegasnya.

Selain itu, isu Islamic State (IS) atau Da’es yang melakukan aksi terorisme atas nama Islam juga turut menjadikan kita keliru dengan perjuangan atas nama jihad, dan fitnah baharu terus melanda umat Islam sejagat, jika dilihat apa yang berlaku di Syria, Iraq, Afghanistan, Palestin dan lain-lain yang terlibat dalam peperangan yang seperti tiada kesudahan.

Menurut Profesor Dr. Zulkiple lagi, informasi masa kini semakin banyak dan boleh diperolehi dengan hanya menekan jari, namun kita tenggelam dalam informasi.

Sepatutnya dengan jumlah informasi yang banyak ia boleh menjawab banyak persoalan kita, malah informasi kini dianggap bahan komoditi yang diperdagangkan dan bersifat ‘value-free’, dan pandangan ini bercanggah dengan ajaran Islam yang melihat informasi sebagai sebuah perkhidmatan (services) untuk membangunkan umat manusia.

Beliau turut berkongsi dalam ceramahnya tentang bagaimana media antarabangsa sedang membentuk masyarakat ‘super secular’ menerusi pengalaman Hamid Mowlana, seorang Profesor Komunikasi dari American University yang turut memberi amaran tentang dunia sedang bergerak kepada tahap ‘hyper secular’.

Menjelaskan mengenai pengalaman Hamid Mowlana lagi yang memberitahu bahawa berita seperti ini diulang berkali-kali, setiap hari, atau dalam istilah media di ‘spin’, supaya memberi impak maksimum dalam minda umat manusia di seluruh dunia melalui propaganda dan mereka ini turut menyatakan bahawa ‘information is a power’, bukan Tuhan.

Profesor Dr. Zulkiple percaya inilah corak pemberitaan dan penyebaran maklumat yang terus berlangsung pada masa kini, tambahan lagi dengan meluasnya aplikasi media sosial yang pelbagai, kita digambarkan akan berhadapan dengan gelombang yang disebut ‘internet by storm’ (perhubungan internet yang dilanda ribut taufan) dan purata seorang pengguna menghabiskan 3.5 jam sehari dengan pelbagai media sosial.

Beliau seterusnya menegaskan dan mengingatkan agar berbalik kepada apa yang diajar oleh Islam kepada kita untuk kita berpegang sebagai satu cara hidup.

Dalam masa yang sama, beliau berasa kagum dengan komitmen dan wawasan kerajaan Brunei Darussalam dengan falsafah Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.

Agenda besar seperti Perintah Pendidikan Agama Wajib yang melibatkan seluruh rakyat yang berugama Islam, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah dan menguatkuasakan penutupan sementara premis perniagaan pada hari Jumaat, adalah antara usaha untuk mendapat keuntungan di dunia dan akhirat.

Usaha menjaga imej negara dan imej Islam untuk mencari keredaan dan keberkatan Allah Subhanahu Wata’ala semestinya didukung kuat oleh kita semua umat Islam khususnya para wanita yang berada dalam majlis ini.

Wanita kini boleh dianggap sebagai nadi bagi pembangunan keluarga dan negara. Jika kita mengambil isteri Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Saidatina Khadijah umpamanya, beliau bukan sahaja sebagai isteri dan ibu, tetapi beliau juga adalah seorang peniaga yang berjaya.

Dalam membincangkan hubungan perhubungan berkat dengan kesejahteraan ummah, apa yang perlu ditegaskan ialah keperluan untuk meletakkan tanggungjawab wanita sebagai sama penting dengan lelaki dan tidak boleh dikesampingkan.

Disunting daripada :

Pelita Brunei

Akhbar Rasmi Kerajaan Brunei Darussalam