Bandar Baru Nilai, 16 Januari 2010 – Pepatah Melayu ada mengungkapkan “Melentur buluh biar dari rebungnya” sekaligus mengingatkan kita betapa pentingnya untuk mendidik kanak-kanak sebagai khazanah modal insan tidak ternilai. Idea bernas Datin Seri Rosmah Mansor memperkenalkan Pusat Permata Negara memberi anjakan paradigma dalam pembangunan minda kelas pertama masyarakat Malaysia di atas slogan “Setiap Anak Permata Negara”.

Justeru, satu program yang diberi nama Permata Insan dibangunkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) khusus untuk melahirkan kanak-kanak pintar yang mampu menjadi teknokrat yang bukan sahaja dilengkapi dengan ilmu profesional tetapi juga dengan ilmu agama.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu ujian Kecerdasan Minda Kanak-kanak telah dianjurkan di bawah Program Permata Insan USIM dengan kerjasama Badan Kebajikan Kakitangan USIM (BKKUSIM) bertempat di Makmal Komputer, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Ujian kecerdasan ini terbuka kepada semua anak-anak kakitangan USIM.

Hampir 100 orang kanak-kanak berumur dalam lingkungan 6 hingga 12 tahun mendaftar untuk ujian ini. Ujian kecerdasan ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu ujian berkomputer (IQ test) dan ujian bertulis (Kecenderungan Agama). Bagi ujian berkomputer, USIM telah mendapat kerjasama daripada Program Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mana USIM mengguna pakai modul berkomputer dari UKM.

Menurut En. Nik Amin Nik Man, Pegawai Permata Insan USIM, tujuan ujian kecerdasan minda kanak-kanak ini diadakan adalah untuk membantu ibu bapa mengetahui tahap pencapaian anak mereka dari segi pembangunan mental dan fizikal.

Program ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Bachok M. Taib, Dekan Pusat Pengajian Siswazah mewakili Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM. Dalam ucapannya, beliau berharap agar program sebegini dapat melahirkan teknokrat Islam yang mampu menjadi modal insan dan model kepada umat sejagat.

“Universiti akan terus menyokong semua bentuk kerja sama yang mendatangkan manfaat kepada pelajar, masyarakat setempat dan ummah keseluruhannya”, tambah beliau lagi.

Program Permata Insan ini bermula apabila pihak USIM bersetuju menerima tawaran dari Kerajaan untuk melaksanakan program ini. Justeru, pihak Universiti telah memberikan kepercayaan kepada pakar-pakar dalam pelbagai bidang berkaitan, dengan melibatkan kakitangan akademik, pengurusan dan profesional, serta sokongan. Ianya merupakan kolaborasi menyeluruh universiti dan mendapat sokongan padu daripada pengurusan tertinggi.

Antara objektif program ini adalah untuk mengenal pasti pelajar pintar seawal mungkin supaya potensi dan kebolehan mereka dapat dibangunkan secara menyeluruh ke tahap yang optimum. Ianya juga bertujuan untuk menyedia dan membangunkan sistem sokongan bagi membantu perkembangan holistik pelajar PERMATA.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan USIM
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058