10 Mac 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) mengadakan inisiatif untuk para pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Menengah 2021 dengan mengedarkan set alat tulis di sekolah-sekolah terpilih sekitar Nilai.

Menurut Pengarah PPKP, Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin, inisiatif ini dianjurkan sejak tahun lepas lagi, bertujuan agar sumbangan alat tulis tersebut dapat digunakan oleh pelajar yang bakal mengambil peperiksaan besar.

“Selain itu, ia juga sebagai tanda ingatan dan pemberi semangat dari PPKP kepada pelajar-pelajar di sekitar Nilai,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, antara sekolah yang menerima sumbangan alat tulis pada tahun ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Cempaka, Sekolah Menengah Agama Nilai, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya dan Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi.

“Alhamdulillah pada tahun ini, kami berjaya mengedarkan sebanyak 345 set alat tulis yang dapat mereka gunakan untuk menjawab peperiksaan yang sedang berjalan dan juga mengedarkan brosur kemasukan ke USIM sebagai panduan kepada mereka untuk mengisi permohonan di UPU Online nanti,” katanya lagi.

Program ini juga sebagai penanda aras hubungan baik USIM bersama Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah serta sekolah angkat USIM agar sekolah-sekolah ini terus menjadi ‘feeder’ utama kepada USIM bagi pengajian di peringkat Tamhidi dan juga di peringkat Sarjana Muda.

Program “The Good Deeds Project” ini juga turut mendapat kerjasama dari Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina serta Pusat Alumni dan Kerjaya USIM dalam usaha menyemarakkan promosi Jom Masuk USIM pada tahun ini melalui pengedaran brosur program.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan