SEMENYIH, 15 Feb 2014 – Mengisi cuti hujung minggu dengan aktiviti rekreasi alam yang menyihatkan serta mengeratkan lagi hubungan kerja berpasukan sesama rakan sekerja, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS) telah mengadakan aktiviti menawan puncak Bukit Broga yang terletak di bahagian timur Pekan Semenyih, Selangor.

Program ini disertai seramai 30 orang ahli PRAGMATIS yang turut bersama membawa ahli keluarga masing-masing. Pendakian ke puncak yang bermula jam 6.30 pagi turut disertai Pengurusan Universiti iaitu Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Encik Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM.

Mengambil masa kira-kira satu jam pendakian ke puncak, Aktiviti rekreasi sebegini juga menjadi ruang yang terbaik untuk para peserta menghayati keindahan alam semulajadi disamping menjadi terapi minda yang berkesan untuk meningkatkan produktiviti semasa bekerja.

Bukit Broga yang berketinggian 400 meter dari aras laut ini tidak pernah sunyi dengan kehadiran para pengunjung dari dalam dan luar negara terutamanya pada cuti hujung minggu untuk menawan  puncaknya. Lokasinya yang berdekatan dengan USIM serta mudah diakses dari jalan raya utama, menjadikan ia destinasi pertama dipilih untuk menjayakan agenda PRAGMATIS yang lebih besar.

“Kita menyahut cabaran Universiti untuk membawa Bendera USIM ke puncak Gunung Kinabalu. Justeru itu, pendakian Bukit Broga ini merupakan pendedahan awal kepada para ahli semua akan cabaran yang perlu ditempuh apabila ingin merealisasikan misi Menawan Gunung Kinabalu kelak. Ketahanan fizikal, stamina, mental dan kerja berpasukan akan lebih teruji di sana nanti dan pendakian hari ini adalah satu bentuk latihan awal yang berkesan” kata Saudara Mohd Fauzi Amirudin, Penolong Bendahari USIM merangkap Exco Sukan dan Rekreasi PRAGMATIS.

Tambahnya lagi, ini merupakan aktiviti rekreasi luar julung kali PRAGMATIS anjurkan dan selepas ini akan diaturkan pendakian ke Gunung Datuk yang terletak di Daerah Rembau, Negeri Sembilan dengan disusuli beberapa gunung lain di Malaysia sebagai persedian berperingkat sebelum rencana terakhir menjejakkan kaki di Gunung Kinabalu, Sabah.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm