NILAI – ASEAN Classroom (ACL) 2024 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya dilaksanakan dari 17 hingga 23 September 2024 bertempat di Kuala Lumpur dan Melaka. Seramai 35 pelajar dari 7 universiti di Indonesia dan Malaysia telah terlibat secara langsung dalam program ACL ini. Antaranya adalah dari USIM, Universitas Padjadjaran, Jawa Barat, Indonesia, Universitas Brawijaya, Jawa Timur, Indonesia, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia, Universitas Muhammadiyah Purwokerto, Jawa Tengah, Indonesia, Universitas Singaperbangsa Karawang, Jawa Barat, Indonesia dan Universitas Wijayakusuma, Jawa Tengah, Indonesia.

Dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM) dan UiTM Kampus Bandaraya Melaka, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam rundingan undang-undang antarabangsa, yang merangkumi topik seperti undang-undang laut, undang-undang perdagangan, undang-undang jenayah antarabangsa, serta undang-undang biokeselamatan.

ACL adalah kesinambungan daripada program edu-pelancongan “International Law Course” (ILC) yang telah mula dilaksanakan oleh International Law Unit (ILU), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), USIM, sejak 2016 di bawah penyelarasan Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli bertujuan memacu program pengantarabangsaan di FSU dan USIM.

Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi, Ketua Penyelaras ACL berkata, program ACL dibuat adalah untuk memperkenalkan USIM kepada para pelajar dari universiti serantau bahawa USIM adalah institusi pendidikan tinggi berkualiti yang menyediakan program pascasiswazah yang berkualiti dan berpatutan, setanding dengan universiti-universiti lain di Malaysia.

“Selain itu, objektif program ini adalah untuk mempromosi Malaysia terutamanya Kuala Lumpur dan Melaka bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan malah destinasi pendidikan yang menyediakan kemudahan infrastuktur yang lengkap dan bertaraf dunia”.

“Menariknya, peserta ACL kali ini diberi pengalaman menjelajah Kuala Lumpur dan Melaka dengan menggunakan sistem pengangkutan awam di Malaysia iaitu KLIA Transit, MRT, LRT, KTM, Monorail dan Bas Ekpres di sekitar Lembah Kelang sehinggalah sampai ke Melaka”, ujarnya lagi.

 

 

ACL 2024 telah menyajikan pelbagai program berbentuk seminar yang disampaikan oleh penceramah tempatan dan luar negara dari pelbagai institusi pengajian tinggi dengan menumpukan kepada bidang undang-undang antarabangsa.