SEPANG, 8 Jun 2023 – Dalam usaha memupuk kesedaran keselamatan siber dalam kalangan generasi muda, seramai 38 pelajar Tahun 2 program Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan diiringi dua pensyarah pengiring iaitu Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay dan Prof. Madya Dr. Najwa Hayaati Binti Mohd Alwi telah menganjurkan Program Kesedaran Keselamatan Siber bertempat di Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi (SAM BBST) Sepang pada 8 Jun 2023 baru-baru ini.

Bertemakan Cyber Hasanat: Memperkasakan Masyarakat melalui Kesedaran Siber, seramai 186 pelajar Tingkatan 3 SAM BBST telah menyertai program ini yang bertujuan  untuk melahirkan minat dan memupuk kesedaran mengenai keselamatan siber di kalangan generasi muda sesuai dengan peningkatan penggunaan teknologi pada masa kini. Di samping menyahut seruan program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dalam memperkasakan kesedaran ilmu keselamatan siber di kalangan pelajar dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti interaktif yang menarik.

Program Cyber Hasanat merupakan julung kalinya diadakan oleh pelajar program Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat).

Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay berkata, antara aktiviti yang dijalankan adalah permainan papan interaktif iaitu Secure Cybercitizenship (SET) dan Explorace bertemakan keselamatan siber yang dilaksanakan oleh jawatankuasa aktiviti.

“Program ini bertujuan untuk membantu para pelajar mendapat pendedahan awal tentang risiko dan cara untuk mengelak dari berlakunya jenayah siber melalui ceramah, papan permainan dan explorace”.

“Selain itu, melalui papan permainan SET, para pelajar dapat lebih mengenali dengan lebih mendalam tentang terminologi dan ancaman keselamatan siber kerana pemainan SET Board tersebut menyediakan informasi menarik bagi pembelajaran awal yang mempunyai keunikan tersendiri.

Ujarnya lagi, melalui kaedah permainan yang diselitkan dengan pengajaran dan pembelajaran inilah yang membantu menarik minat generasi muda termasuklah para pelajar tingkatan tiga khususnya untuk lebih cakna terhadap tahap kesedaran keselamatan siber pada masa kini. Setiap aktiviti yang disediakan disulamkan dengan pendedahan keselamatan siber melalui cara yang menyeronokkan dan mampu memberi kesan positif kepada pemahaman masyarakat terhadap keselamatan siber seiring dengan penekanan konsep ilmu Naqli dan Aqli (iNaQ) yang diintegrasikan dalam permainan papan tersebut.

“Saya yakin bahawa anak-anak pelajar akan menghargai dan mengambil manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang telah pihak USIM anjurkan kepada kami kerana melaluinya kami lebih faham akan konsep keselamatan siber serta kepentingan menjaga privasi data-data digital kami.” kata Puan Hajah Noorhayati Binti Zakaria Pengetua SAM BBST ketika merasmikan program ini.