NILAI, 5 Februari 2020 – Enam orang pelajar merupakan kohort pertama diraikan di Majlis Konvokesyen DISPI bertempat di Galeri, Bangunan Canselori bagi Program Diploma Siswazah Pengajian Islam (DISPI) setelah menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun.

Program DISPI bertepatan dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat (life long learning) bagi memberi nilai tambah dan pengetahuan kepada masyarakat umum mengenai ilmu pendidikan dan pengajian Islam di luar bidang kepakaran.

“Program DISPI menjadi salah satu usaha universiti untuk melebarkan jaringan dan kerjasama dengan masyarakat dan kejiranan kerana kita menyedari peranan universiti untuk memasyarakatkan ilmu. Ia juga salah satu usaha USIM untuk menarik minat para profesional agar mempunyai pemahaman serta menghayati nilai-nilai Islam,” ucap Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Dalam tempoh ini, diharapkan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dapat membuat penilaian aspek-aspek untuk penambahbaikan selain mengharapkan maklum balas daripada graduan berhubung program ini supaya kita sama-sama dapat memperbaiki kekurangan yang ada,” tambahnya lagi.

Tuan Haji ChM Adam Malik Najri berucap mewakili pelajar berkata ramai di kalangan rakan profesional yang berminat untuk mengikuti pengajian ini kerana pengisian yang relevan serta kaedah pembelajaran yang fleksibel.

“Kami amat beruntung terpilih sebagai pelajar perintis bagi menimba ilmu dan berharap agar program DISPI ini akan diteruskan dengan penambahbaikan yang bersesuaian dalam mempromosi budaya madal hayah, long life learning, integrasi ilmu aqli dan naqli kepada warga USIM sendiri serta masyarakat luar yang tercari-cari model pengajian yang tersusun, anjal dan menggunakan teknologi ICT,” ucapnya yang merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Kawal Selia Air dan Pembetungan, Bahagian Sumber dan Perancangan Tadahan.

Beliau menambah pihak Universiti banyak membantu merangka modul-modul pengajian yang menarik dan terkini antaranya menggunakan teknologi ICT termasuk penggunaaan sitem skype dalam sesi kuliah on line, dan lain-lain kemudahan.

Bagi kakitangan akademik USIM, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mohktar, beliau bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk mengikuti pengajian Islam secara berstruktur. Kelas ini secara tidak langsung menambahkan kefahamannya dalam bidang tujahan penyelidikan dan advokasi masyarakat dalam konteks integrasi aqli dan naqli.

“Apabila USIM menawarkan kursus Diploma Pengajian Islam ini kepada orang ramai, sebagai staf USIM, saya rasa sangat rugi jika peluang keemasan ini dibiarkan, walaupun saya menyedari cabaran dan rintangan yang dihadapi dalam membahagikan masa di antara keluarga, administrasi dan kelas serta tugasan. Namun, kaedah pengajaran yang fleksibel dan memaksimakan penggunaan teknologi, serta barisan tenaga pengajar yang bijak menyesuaikan jadual dengan latar belakang kami yang pelbagai juga banyak membantu para pelajar mengikuti kursus dengan jaya,” ujarnya yang merupakan pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri.

Graduan lain yang dirai adalah Prof. Datin Dr. Hajah Sapora Sipon dan Prof. Madya Dr. Othman Bin Ab. Rahman, pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan; Tuan Zulkifly Mat Daud, Jurutera Awam dan Puan Sofea Kamaron Zaman, Private Tutor Al-Quran dan Islamic Event Organizer. Keenam-enam mereka merupakan antara 11 orang yang mendaftar pada ambilan pertama yang diadakan pada 29 Julai 2017.

Majlis yang disempurnakan oleh Majlis yang disempurnakan oleh Naib Canselor turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman, Dekan FSU, Prof. Madya Dr. Arif Fahmi Md Yusof serta barisan pensyarah pensyarah fakulti tutor tenaga pengajar DISPI.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan