JEPUN, 20 NOV 2016 – Seramai 15 orang peserta dan seorang pegawai pengiring dari Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan misi kembara Global Islamic Student Outreach (GISO) di Hokkaido, Jepun baru-baru ini.

Misi selama tujuh hari itu bertemakan “Kembara Kasih Merentas Budaya” iaitu lebih menfokuskan kepada perkongsian ilmu dari segi pendidikan, mengenali lebih dekat budaya Jepun, dan melihat sendiri adat Jepun yang terkenal dengan kesopanan dan disiplinnya yang tinggi. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan Islam dan cara hidup Islam kepada masyarakat di Sapporo, Hokkaido.

Menurut Pengarah program, Abdullah bin Azmi, giso merupakan program yang sangat baik serta berkesan untuk memberi pendedahan kepada pelajar menerokai dan belajar sesuatu yang baru.

“Pelbagai aktiviti dan pengisian diadakan bersama masyarakat yang berbeza latar belakang agama di Sapporo, Hokkaido antaranya Spread The love, iaitu sesi beramah mesra dengan warga Sapporo sambil mengedarkan penanda buku berkaitan kata-kata motivasi dalam tiga bahasa iaitu melayu, inggeris dan Jepun serta berkaitan keindahan Islam. Tujuan utama aktiviti ini adalah untuk menyebarkan dakwah.

Selain itu, kami turut menjalankan program Tahsin Al-Quran iaitu mengajar membaca Al-Quran dan Iqra dengan memberi penekanan kepada tajwid serta mengajar doa selepas membaca Al-Quran secara nasyid. Kemudian kami teruskan dengan sesi penyerahan sumbangan berbentuk 5 naskhah al-Quran dan cenderahati turut diberikan kepada imam Masjid Masjid Al-Noor, Otaru sebagai kenangan selepas program bersama pelajar diadakan,” katanya.

Menurutnya, lawatan ke Universiti Hokkaido pada hari berikutnya sangat bermanfaat dan memberi semangat kepada pelajar malaysia untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya serta dapat menjalinkan hubungan rapat antara mahasiswa Universiti Hokkaido dan USIM.

Selain itu, turut diadakan program bersama keluarga angkat dimana semua peserta diserahkan kepada ibu bapa angkat warga Jepun untuk mengadakan aktiviti transfer knowledge seperti mengajar perkataan asas Bahasa Melayu dan belajar bahasa Jepun, penyediaan makanan tradisional serta permainan tradisional , dan seterusnya tutorial pemakaian baju kebangsaan dua negara iaitu Malaysia dan Jepun.

Akhirnya, beliau berharap agar program Global Islamic Student Outreach dapat diteruskan oleh mahasiswa USIM kerana program pengembaraan seperti ini dapat memberi ilmu yang baru kepada pelajar untuk menerokai bumi Allah disamping berpeluang untuk menyebarkan dakwah seterusnya memperkenalkan dan memartabatkan Islam di serata dunia.

Disediakan oleh:

Siti Hawa Binti Mat Yunan

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204