NILAI, 9 Ogos 2023 – Bersempena Hari Alumni USIM 2023 yang di sambut pada 9 Ogos saban tahun, Pusat Alumni dan Kerjaya membawakan Jejak Alumni@USIM sejajar dengan Chapter USIM yang telah ditubuhkan khusus buat para alumni yang berkhidmat di dalam USIM.
Himpunan alumni yang diadakan di Lobi Canselori telah disertai oleh lebih daripada 50 orang dan mereka mewakili jumlah yang besar daripada alumni yang telah berkhidmat di USIM, yang kira-kira berjumlah 200 orang.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata Alumni USIM merupakan tiang teguh kepada universiti. Keistimewaan Alumni USIM berbanding alumni universiti lain kerana membawa keunikan nilai INAQ secara langsung menjadi duta dan ejen kemajuan ummah. Beliau turut menyatakan dari sudut analogi ‘menginsankan manusia dan membumikan adab dan akhlak’.
“Saya mengharapkan Alumni USIM bersama-sama dengan pengurusan universiti dalam usaha meneroka peluang-peluang baharu. Pengurusan sentiasa bersedia dan membuka ruang kepada alumni untuk menyalurkan idea baharu yang boleh menaikkan imej dan pencapaian universiti demi kemajuan pada masa akan datang dan pengurusan,” ucapnya lagi.
Beliau turut menekankan agar nilai INAQ terus tersemat di dalam jiwa dan diri Alumni USIM berlandaskan dua aspek iaitu adab dan akhlak serta kepunyaan dan rasa sayang yang tinggi kepada USIM yang mampu mempertahankan nama baik USIM bertepatan dengan frasa ‘USIM Berjanji Pada Ibunda’.
Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut menyampaikan sijil pelantikan kepada En. Marwan Tahir, yang bertanggungjawab sebagai Ketua untuk memimpin Chapter Alumni USIM dan menjadikan sebagai nukleus penting dan pencetus kebersamaan dalam kalangan Alumni USIM yang lain.
Sementara itu, Majlis Penyampaian Anugerah Ikon Alumni USIM akan diadakan pada bulan Oktober dan USIM mengalu-alukan para alumni untuk berkongsi momen mereka sepanjang di USIM dengan hashtag #alumnisayangusim #usimians9ogos
Turut hadir di majlis sambutan adalah YBrs. Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); YBrs. Hj. Mazlan Nawang, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya dan YBrs. Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, Pengerusi Persatuan Alumni USIM.
sumber: Pusat Alumni dan Kerjaya
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan