NILAI, 30 Mei – Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menjadi pilihan utama bagi para pelajar lepasa SPM/Setaraf untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Matrikulasi/Asasi. Pada sesi pengambilan para pelajar baru untuk sesi akademik 2013/2014, seramai 823 orang pelajar telah mendaftar secara rasmi.

Sesi pendaftaran yang berlangsung di Stadium Tertutup Nilai, pastinya menjadi hari yang bersejarah untuk para pelajar yang terpilih ini khususnya serta ahli keluarga masing-masing. Pusat Tamhidi USIM menawarkan lima pilihan program pengajian kepada para pelajarnya iaitu Tamhidi Perubatan, Tamhidi Pergigian, Tamhidi Sains dan Teknologi, Tamhidi Syariah dan Undang-undang serta Tamhidi Perakaunan.

“Pendaftaran Pelajar Tamhidi sesi akademik 2013/2014 merupakan bilangan pelajar matrikulasi yang terbesar mendaftar masuk ke USIM sejak Program Tamhidi ini bermula pada 2005. Bagi menjadikan mereka selesa dengan suasana pembelajaran di Kampus, Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengambil inisiatif mengadakan Minggu Ta’aruf selama 3 hari bermula 30 Mei hingga 1 Jun” ujar Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM, Encik Nasrul Hakim Ahmad.

Tambahnya lagi, melalui Minggu Ta’aruf ini yang bertujuan untuk pelajar bersuai kenal, ianya juga memberi pendedahan kepada para pelajar tentang pelbagai perkara berkaitan dengan pembelajaran dan kehidupan di kampus dan platform untuk mengenali Pihak Pengurusan USIM dengan lebih dekat.

Antara pengisian utama Minggu Taaruf ini, adalah Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baru bersama YBhg. Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail dan Majlis Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah USIM iaitu YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Haji Abdul Shukor bin Haji Husin.

Pihak universiti merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada para ibu bapa dan keluarga yang membantu melicinkan proses pendaftaran para pelajar baru ini ke USIM dan mendoakan langkah pertama mereka memilih USIM akan menjadikan mereka pelajar yang cemerlang dan berjiwa Al-Abrar.

Disediakan oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)