NILAI- Selari dengan misi universiti yang bertekad menjadi sebuah institusi ilmu terkehadapan berteraskan pengajian Islam dan menjadi peneraju ilmu baharu dengan menggunakan teknologi terkini, USIM hari ini terus mara ke hadapan. Kurikulum berteraskan paduan ilmu Naqli dan Aqli yang diterjemahkan dalam bentuk teknologi moden ini semakin mendapat pengiktirafan peringkat nasional dan antarabangsa.
Bermula dengan pendaftaran Hak Cipta melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada tahun 2016 “Interactive Courseware: Quranic Verses on the Integration of Naqli and Aqli Knowledge” terus berkembang selari dengan keperluan pembelajaran moden masa kini. Inovasi pembelajaran berteraskan ilmu Naqli melalui kaedah moden sesuai dengan kehendak masa kini, semakin diterima pelbagai pihak. Oleh itu tidak hairanlah apabila diketengahkan dalam pameran dan pertandingan inovasi, ia mencuri perhatian juri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Pengiktirafan oleh Universiti Malaya selaku sebuah universiti penyelidikan dengan menganugerahkan pingat Emas terhadap inovasi Smart Q: Quranic Verses on the Integration of Naqli and Aqli Knowledge dalam International Conference on Tadabbur al-Quran: Innovation & Development yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Islam di unversiti tersebut, cukup memberangsangkan.
Begitu juga pengiktirafan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan, bagi inovasi Smart e-Fatihah, BioKids dan Smart i-Astronomy dengan menganugerahkan pingat Emas kepada semua produk ini adalah salah satu lambang kemajuan inovasi ini.
Bagi melihat keperluan dari perspektif kepakaran teknologi, inovasi ini dikembangkan ke Universiti Teknologi MARA dengan mempamerkan produk i-Botany dan Q-Entomology dalam International Invention, Innovation & Design 2018 di Universiti Teknologi MARA Negeri Sembilan. Hasil daripada program tersebut, inovasi ini masing-masing mendapat pingat Emas dan Perak. Bagi memperbaiki kualiti inovasi ini, para penyelidik telah membuat penambahbaikan seterusnya menyertai pertandingan International Innovation, Invention & Creation Exhibition 2018 anjuran Universiti Teknologi MARA Selangor. Dengan penjenamaan baru melalui nama i-Botany: Interactive Learning Website dan QEC: Quranic Entomology Courseware, akhirnya kedua-dua inovasi yang dipertaruhkan dinobatkan anugerah Emas oleh penganjur.
Selain daripada menyertai pameran & pertandingan peringkat antarabangsa di dalam negara, inovasi yang berpayung di bawah Hak Cipta “Interactive Courseware: Quranic Verses on the Integration of Naqli and Aqli Knowledge” ini telah melebarkan pencapaian petandingan di luar Negara. Produk Smart Miracle Identity dan i-Falak Hub telah menambat hati juri dari serata dunia yang majoritinya terdiri daripada non muslim, dalam pertandingan International Invention Innovation Competition in Canada 2018, di Toronto, Kanada yang menganugerahkan masing-masing pingat Emas & Perak kepada produk-produk tersebut.
“Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada semua ahli penyelidik serta pihak Universiti yang telah memberi ruang bagi menjayakan inovasi ini khususnya Naib Canselor, Dekan Fakulti, Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi, Pusat Libatsama Masyarakat & jaringan Industri serta semua pihak yang telah memberikan sokongan sama ada secara langsung atau tidak langsung”, ujar Dr. Mohamed Akhiruddin Ibrahim merupakan Ketua Penyelidik dan Ketua Geran Penyelidikan yang mengetuai inovasi ini, adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM.