NILAI- Kekurangan isyarat bagi istilah-istilah berkaitan Ibadah dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) antara faktor yang mengekang golongan berkeperluan khas pendengaran atau juga dikenali sebagai OKU Pekak untuk memahami dan mempraktikkan konsep indahnya hidup beragama. Bagi memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah ini, kumpulan penyelidik dari Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diketuai oleh Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad mengambil tanggungjawab untuk membangunkan satu perisian mesra OKU Pekak iaitu I-Sign (Ibadah). Usaha ini dibiayai geran kerjasama (Matching Grant) USIM bersama Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA).

Gabungan pembangunan perisian ini terdiri daripada penyelidik berlatarbelakangkan Pengajian Islam, Jurubahasa Isyarat (JBI) dan wakil NGO OKU yang terdiri daripada NESDA, Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA), Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Orang Pekak Selangor (POPS) dan wakil penyelidik Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut Puan Sariah Ibrahim, Presiden NESDA  “Sekalung penghargaan terima kasih atas usaha murni ini dan  mengharapkan usaha ini terus berkembang dalam cabang-cabang agama Islam yang lain seperti Feqah, Muamalalat dan sebagainya”, berkata Puan Sariah Ibrahim, Presiden NESDA .

Menurut Dr Nurul Asiah Fasehah Muhamad, ketua penyelidik dan merangkap Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah berkata, usaha ini dijalankan sejak tahun 2017 dan sepanjang tahun tersebut telah berjaya mengumpulkan 274 istilah baharu yang dibangunkan dan dikemaskini meliputi tujuh bab iaitu hukum syarak, syahadah, taharah, solat, puasa, zakat dan haji.

“Proses pemurnian dilakukan bagi setiap isyarat yang dibangunkan supaya tidak lari dengan definisi sebenar dalam agama Islam dan disesuaikan mengikut budaya golongan OKU masalah pendengaran di Malaysia. Saya beri contoh, jika sebelum ini isyarat kepada istilah najis dan kotor adalah sama, tetapi melalui kajian ini, kita telah mengemaskini isyarat sedia ada untuk membezakan dua istilah ini bagi mengelak kekeliruan golongan ini memahami perkara tesebut”, jelas Dr Asiah.

Pembangunan perisian ini diharapkan mampu digunakan secara meluas dalam memberi peluang kepada komuniti pekak Muslim merasai nikmat dalam beribadah dengan pemahaman asas dari segi makna terminologi Ibadah yang lebih sempurna. Perisian ini juga telah berjaya meraih pingat emas dan anugerah khas Ibnu Ummi Maktum tajaan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) di Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA) 2018 dan meraih pingat perak dalam Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2018 (ITEX) di Kuala Lumpur.